Friday, 14 March 2014

Perjalanan Selepas Kiamat

Moga Kita Ditempatkan Dikalangan Orang Beriman
 
  • Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.
     
  • Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya "Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?" Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya "Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa." Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.
     
  • Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
     
  • Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.
     
  • Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.
     
  • Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
     
  • Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.
     
  • Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.
     
  • Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
     
  • Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.
     
  • Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
    1. Pemimpin yang adil.
    2. Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
    3. Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
    4. Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
    5. Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah".
    6. Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
    7. Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.
  • Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
     
  • Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.
     
  • Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga 'Arasy itu tiba dibumi.
     
  • 'Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.
     
  • Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari 'Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.
     
  • Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & 'Atid / Kiraman Katibin.
     
  • Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.
     
  • Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.
     
  • Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.
     
  • Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.
     
  • Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.
     
  • Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.
     
  • Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta'ala dengan Maha Bijaksana.
     
  • Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.
     
  • Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :
    1. Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
    2. Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
    3. Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
    (Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)
  • Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
     
  • Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.
     
  • Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
     
  • Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.
     
     

    Rujukan:
    Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al-Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.
     
     

    ☞ Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW:
    ❝ Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. ❞
    Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
     
    ① Sedekah/amal jariahnya.
    ② Doa anak²nya yang soleh.
    ③ Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.
     
     

    * Sumber dari Pengukir Kata & Mega Channelz
  • Wednesday, 12 March 2014

    Sejarah Yahudi di Madinah

    Bangsa Arab dan bangsa Yahudi masing-masing masih menyimpan perasaan curiga mencurigai sehingga hari ini.
    SEJARAH memberikan kita fakta bahawa Nabi Muhammad SAW, satu-satunya pemimpin yang berjaya menyatupadukan masyarakat majmuk antara kaum Arab dan Yahudi di Madinah.
     
    Namun tugas itu sebenarnya bukan satu kisah kejayaan yang dicipta dalam masa sehari atau sebulan tetapi sepanjang masa.
     
    Baginda sentiasa berusaha untuk menyatupadukan kedua-dua kaum itu supaya dapat hidup bersama dalam sebuah negara dan ia sangat sukar untuk dilakukan kerana setiap kaum itu mempunyai pelbagai kerenah dan tabiat-tabiat yang sukar untuk dikikis demi untuk hidup bersatu.
    Tetapi dalam ruangan kali ini, mungkin kita perlu mengetahui dengan lebih jelas mengenai sejarah kedatangan Yahudi ke Yathrib atau Madinah.
     
    Ini sebagaimana yang diceritakan oleh Mubarakfuri dalam buku Sirah Nabawiyyah yang menjadi rujukan utama untuk ruangan ini.
     
    Mubarakfuri meletakkan kaum Yahudi Madinah sebagai kelompok kaum ketiga yang menetap di bandar itu.
     
    Iaitu selepas kelompok bangsa Arab Muhajirin (penduduk Arab beragama Islam yang berhijrah dari Mekkah) dan kelompok bangsa Arab Ansar (penduduk Arab, penduduk asal Yathrib).
     
    Pada asalnya orang Yahudi datang atau berhijrah ke Hijaz atau Semenanjung Arab semasa zaman penindasan oleh kerajaan Asyria dan Rom dahulu kala.
     
    Pada hakikatnya mereka lebih tepat dikenali sebagai bangsa Ibrani dan setelah berada di Hijaz mereka mula melalui cara kehidupan seperti orang Arab dari aspek pakaian, bahasa dan peradaban.
     
    Sehinggakan nama-nama kabilah dan individu mereka turut menggunakan bahasa Arab. Akhirnya mereka dapat menjalin hubungan perkahwinan dan persemendaan dengan bangsa Arab.
     
    Akan tetapi mereka sangat berpegang dengan dengan keagungan sebagai bangsa Yahudi yang menyebabkan mereka tetap sombong dan bangga diri sebagai bangsa tersebut.
     
    Iaitu fakta mengenai bangsa Yahudi yang tidak akan berubah yang sehingga hari ini menjadi identiti bangsa itu.
     
    Justeru, mereka tidak menyerap ke dalam kehidupan seperti orang Arab secara total.
     
    Ini kerana mereka menganggap bangsa Arab sebagai sangat lekeh sehingga mereka menggelarkan bangsa itu sebagai "masyarakat Ummi" yang bererti primitif dan sangat ketinggalan.
     
    Malah lebih teruk lagi mereka turut menganggap bahawa harta benda orang Arab adalah harus untuk mereka. Atau lain perkataan boleh dirampas sesuka hati atau boleh mendapatkannya dengan apa cara sekalipun.
     
    Ini sebagaimana yang diakui sebagaimana yang tercatat dalam al Quran yang bermaksud:
    "Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang ummi (Al Imran ayat 75)."
    Sebagaimana yang dipertahankan oleh Yahudi sehingga hari ini, bangsa Yahudi di Tanah Arab ketika itu juga tidak mempunyai kemahuan atau minat untuk menyebarkan agama yang menjadi pegangan dan kepercayaan mereka selama ini.
     
    Al Mubarakfuri menyebutkan paling besar bekalan agama yang bangsa itu miliki hanyalah berkisar dalam konteks al-Fa'il (sempena baik), ilmu hitam atau sihir, meniup tali, jampi mentera dan seumpamanya.
     
    Disebabkan itu mereka beranggapan dan mendabik dada bahawa merekalah, bangsa yang paling memiliki ilmu, kemuliaan, kepimpinan dan kerohanian yang tinggi.
     
    Maka atas sebab itukah Yahudi sebagaimana hari ini adalah bangsa yang sangat mahir dalam soal pekerjaan dan kehidupan.
     
    Tetapi sebagaimana sejak zaman sebelum kedatangan Islam itu lagi, bangsa Yahudi diakui sangat mahir dalam soal pekerjaan terutamanya perniagaan dan kehidupan mereka yang lain-lainnya.
     
    Mereka menguasai perniagaan terutamanya bijirin, kurma, minuman arak dan tekstil atau pakaian.
     
    Mereka sangat giat melakukan perniagaan dengan mampu mengimport masuk pakaian, biji-bijian dan arak selain mengeksport buah-buah kurma yang bermutu tinggi dari Yathrib.
     
    Maka dalam dunia perniagaan bangsa Yahudi akan mengambil keuntungan daripada para peniaga dan pembeli terutama dari bangsa Arab secara berlipat kali ganda sebagai satu cara penindasan dari aspek ekonomi.
     
    Bagi memburukkan lagi keadaan bangsa Yahudi mempelopori dan menjuarai perniagaan berasaskan riba.
     
    Antara caranya, mereka memberikan kepada para pembesar-pembesar Arab dengan pinjaman wang dan harta benda supaya para ketua terutamanya ketua-ketua kabilah Arab tersebut mendapat sanjungan, penghormatan dan kemuliaan terutama di kalangan penyair dan mendapat nama baik di kalangan para pengikut.
     

    * Susunan SITI AINIZA KAMSARI
     

    Sunday, 9 March 2014

    KEMUSNAHAN TANAH SUCI MEKAH YANG DISEMBUNYIKAN.

    Siapa yang baru sahaja pulang dari umrah sekarang pasti membawa gambar-gambar kawasan Arab Saudi yang semakin maju, gilang-gemilang dengan segala puncak menara di merata-rata ceruk Mekah dan Madinah. Sebanyak $ 26 billion telah dibelanjakan untuk tujuan ini. Tapi tahukah anda, apa yang berlaku di sebaliknya?!
    Dari apa yang kita boleh lihat struktur ikonik lama Masjidil Haram telah pun dimusnahkan untuk memberi laluan kepada rekaan model lebih kontemporari. Pemusnahan bangunan Masjidil Haram yang dibina oleh kerajaan Ottoman/Uthmaniyah ini menerima tentangan ramai pihak terutamanya ahli arkaelogi yang merasakan kerajaan Saudi merosakkan struktur bersejarah Islam tanpa mempedulikan kesannya.
     
    Pihak Saudi memberi alasan bangunan binaan kerajaan Ottoman/Uthmaniyah ini mempunyai rekaan bida'ah/syirik kerana terdapat ukiran nama sahabat. Selain itu juga terdapat perancangan untuk memusnahkan stukutur kubah Masjid Nabawi sekarang kerana ia juga dikatakan tidak cukup Islamik.
     
    Kenapa tidak cukup Islamik? Kerana kubah hijau yang menutupi makam Rasulullah SAW juga dikatakan bida'ah. Kubur tidak boleh mempunyai tanda mengikut fahaman Wahhabi. Kuburan Saidina Umar dan Abu Bakar yang disemadikan bersebelahan makan Rasulullah juga akan dimusnahkan suatu hari nanti jika keadaan ini berterusan.
     
    Walaupun atas nama pemodenan dan pembesaran Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, tetapi itu bukanlah tiket khas untuk menutup sejarah dan tempat tinggalan Nabi SAW dan para sahabat!
     
    Persoalan ini membawa kepada soalan seterusnya, iaitu, "Mengapa hanya pihak SAUDI mempunyai hak membentuk arah tuju Mekah dan Madinah? Kenapa tiada persetujuan diambil terlebih dahulu sebelum projek pembinaan/pemusnahan ini dilakukan? dan haruskah Mekah dan Madinah berada di bawah jajahan keluarga Al Saud"
     
    PERSOALAN DEMI PERSOALAN
    Kesemua projek naik taraf dan pembangunan di kedua-dua kota suci Islam ini dilakukan di bawah arahan Raja dari keturunan Saud, sebab tu nama negara tersebut Arab Saudi. Beliau juga digelar "Penjaga Dua Masjid Utama".
     
    Keyword disini ialah PENJAGA dan bukannya TUAN PUNYA. Di dalam Islam sendiri kita sedia maklum wujud konsep MUSYAWARAH. Jadi mengapa tiada musyawarah dilakukan diantara kesemua pemimpin negara Islam untuk membincangkan hala tuju permodenan Mekah dan Madinah?
     
    Pihak Saudi nampaknya sangat autokratik dalam membuat keputusan permodenan. Tak mengapalah untuk keselesaan orang awam tapi kalau dah sampai menghancurkan termpat-tempat sejarah sahabat dan Nabi SAW, apa cerita ni?!
     
    Kemudian semua projek pembinaan diberikan kepada firma Saudi Bin Ladin Group. Kita semua sedia maklum bila seseorang Muslim itu menderma kepada pembinaan sebuah masjid, surau atau tanah wakaf, pahala dari pemberian mereka itu akan berterusan sehingga hari kiamat. Kenapakah keluarga Al Saud dan Bin Ladin memonopoli projek ini tanpa perbincangan dari semua negara Islam?
     
    Tidak banyak pemimpin Muslim yang berani menegur monopoli 2 masjid suci ini untuk kerabat dan kroni mereka sendiri? Hanya Presiden Turki dan Iran yang mempunyai semangat dan keberanian untuk mempersoalkan kemusnahan bangunan bersejarah Islam di Kota Mekah dan Madinah yang sedang giat dilakukan kerajaan Saudi. Mereka juga membantah pengkomersilan melampau yang berlaku di Mekah.
     
    Contoh pengkomersilan melampau ialah Raffles Makkah Palace, hotel mewah siap dengan butler yang terletak bersebelahan Masjidil Haram. Menara jam gergasi yang ada sekarang pula rata-rata dipersetujui telah mengalihkan perhatian umat Islam dari memandang Kaabah.
     
    Saya yakin anda pasti bersetuju bahawa tarikan utama Mekah sepatutnya ialah untuk beribadah dan melihat Kaabah. Bukannya pergi hotel mewah dan jam gergasi tertinggi di dunia. Agak ironik rumah nabi, sahabat, makam isteri-isteri nabi dan telaga nabi dimusnahkan kerana "bida'ah" dan di atas tapak yang diratakan itu pula dibina cawangan makanan 'HARAM' Starbucks, Marks and Spencer, Raflles Hotel dan McDonalds.
     
    Antara kesan yang nyata akibat permodenan Mekah dan Madinah ialah kos untuk menunaikan haji serta umrah menjadi terlalu mahal. Ini mengakibatkan umat Islam yang sepatutnya sudah mampu menunaikan haji terpaksa mengumpul lebih banyak wang untuk memenuhi rukun Islam ke 5.
     
    Ramai golongan tua yang baru pulang umrah mengeluh Mekah yang mereka lawati pada tahun 90-an ketika menunaikan haji dahulu sudah hilang. Menurut mereka pengkomersilan yang melampau membuatkan Mekah terasa seperti seakan sebuah theme park dan bukan lagi tempat untuk beribadat kepada Allah.
     
    Salah siapa kalau bukan kerajaan-kerajaan Islam sendiri yang memberikan keluarga As-Saud keizinan mutlak untuk melakukan apa yang mereka suka. Kalau berani bersuara kuota Haji negara akan dikurangkan oleh As-Saud and Co. Islamik kah ini?!
     
    Last but not least mungkin lebih baik jika Makkah dan Madinah menjadi mini country seperti Vatican dimana penjaganya digantikan mengikut undian umat Islam. That way tak ada one person yang boleh buat keputusan sesuka hati. Ini juga akan membebaskan Mekah dari menjadi milik keluarga As-Saud untuk mendesak negara Islam lain untuk menutup mulut mereka atau dikurangkan kuota apabila sebarang rancangan mereka digugat atau dipersoalkan.
     
    Masjidil Haram 2020: Sanggupkah kita kehilangan segala tinggalan Rasulullah SAW?!
    Semoga Allah membantu kita semua dan Islam walaupun saya sedar bahawa salah satu daripada tanda akhir zaman atau kiamat kecil adalah apabila kaum yang dahulunya mengembala kambing di gurun-gurun mula berlumba-lumba membina bangunan yang tinggi-tinggi (atas tujuan menonjolkan kekayaan mereka).
     
    Moga Allah sentiasa merahmati kita dan memahamkan kita betapa pentingnya peninggalan sejarah tamadun awal Islam kepada kita.
     
    Tarmizi Hj Bakar
     
     

    __._,_.___
    Sent: Friday, March 07, 2014 12:17 AM
    Subject: RG2011... Fw: KEMUSNAHAN TANAH SUCI MEKAH YANG DISEMBUNYIKAN.
     

     

    Friday, 7 March 2014

    Adab Bersembang

    Sesungguhnya Islam agama yang indah. Setiap perkara mempunyai adab dan aturannya yang tersendiri. Semuanya diajarkan Nabi SAW sehinggalah sekecil-kecil perkara seperti masuk dan keluar tandas.
     
    Pernah terjadi beberapa orang Musyrikin mengejek Salman al-Farisyi r.a., kata mereka,
    "Nabi kamu mengajarkan semua benda sehingga perkara berkaitan istinjak. Kata Salman, "Memang benar! Nabi kami menegah daripada membuang air besar atau kecil dalam keadaan menghadap kiblat, beristinjak menggunakan tangan kanan, beristinjak kurang daripada tiga biji batu." (Hadis Riwayat Muslim)
    Antara adab yang selalu dipandang ringan oleh umat Islam adalah adab bersembang. Apakah perbualan atau cara kita bersembang setiap hari menepati tuntutan Islam?
     
    1. Suara yang rendah dan lembut.
    Menurut Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah, meninggikan suara terhadap seseorang itu menunjukkan kurangnya hormat kita kepada mereka. Seeloknya kita bercakap dengan kadar yang sederhana, sebagaimana yang kita inginkan apabila mendengar daripada seseorang.
     
    Adab ini perlu diamalkan sama ada ketika bersama sahabat mahupun musuh, orang yang dikenali mahupun tidak, orang kecil mahupun dewasa. Lebih- lebih lagi ketika bersama kedua-dua orang tua dan orang yang setaraf dengan mereka.
     
    Menurut Abdullah bin Zubair r.a., selepas turunnya ayat ke-2 surah al-Hujurat iaitu "Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu meninggikan suara kamu melebihi suara Nabi".  Sayidina Umar r.a. terus berubah sikapnya. Sekiranya bercakap dengan Nabi, dia akan bercakap seperti orang berbisik-bisik sehingga terpaksa disuruh ulang beberapa kali kerana tidak dapat difahami .
     
    Imam Zahabi menyebut, "Jikalau orang tidak mengenali siapa Muhammad bin Sirin (ulama Tabi'in), mereka akan menyangka dia seorang yang sakit kerana terlalu rendah suaranya apabila bercakap dengan ibunya."
     
    Lihatlah, betapa beradabnya golongan salaf dalam berkata-kata.
     
    2. Tidak menunjuk pandai.
    Antara adab bersembang juga, kita tidak memalukan sahabat kita dengan menzahirkan kepada mereka apa yang kita ketahui sedangkan mereka tidak memahaminya. Sabda nabi SAW,
    "Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka." (Hadis Riwayat Muslim)
    Contohnya jikalau kita seorang pakar ekonomi dan berhadapan dengan seorang petani kampung, elakkan bercakap tentang kerja kita yang jauh di luar bidang mereka serta sukar difahami dengan mudah. Sebaik-baiknya, tunjukkanlah perhatian kepada mereka dan lebihkan mendengar daripada berkata-kata.
     
    Seorang Tabi'in yang terkenal iaitu Imam Ata' bin Abi Rabah berkata, "Seorang pemuda menceritakan kepadaku sebuah kisah. Aku mendengarnya dengan teliti seolah-olah aku tidak pernah mendengarnya sebelum ini. Sebenarnya aku telah mendengar kisahnya itu sebelum dia dilahirkan lagi."
     
    Khalid bin Safwan berkata, "Jikalau seseorang bercerita dan aku telah mendengarnya sebelum ini, atau perkara itu telah kuketahui, aku tidak akan menyampuknya. Aku bimbang dia akan menyedari yang aku telah mengetahuinya."
     
    Begitulah cara ulama-ulama menjaga pergaulan mereka. Mereka tidak meringan-ringankan kata-kata seseorang walaupun perkara tersebut sudah diketahui.
     
    3. Biarkan mereka menghabiskan ucapan.
    Sekiranya kita musykil tentang sesuatu yang diperkatakan, hendaklah bersabar sehingga seseorang menghabiskan ucapannya. Kemudian, soallah dengan adab dan berhemah. Jangan memotong di tengah-tengah percakapan. Ia akan menghilangkan adab serta menimbulkan rasa tidak senang orang yang sedang bercakap. Melainkan ketika dalam kelas pengajian, kita boleh bertanya dan berbincang sekiranya guru mengizinkan.
     
    Menurut Ibrahim bin al-Junaid, "Belajarlah cara mendengar yang baik sepertimana kamu belajar cara bercakap yang baik. Antara ciri pendengar yang baik juga adalah membiarkan seseorang menghabiskan kata-katanya, bercakap menghadap tubuhnya dan bertentangan wajahnya serta tidak menyampuk sekiranya dia membicarakan sesuatu yang sudah kamu ketahui."
     
    Nabi SAW apabila diseru seseorang, Baginda tidak sekadar memalingkan muka bahkan menghadapkan seluruh tubuhnya kepada orang tersebut. Inilah bukti keindahan pekerti Rasulullah SAW.
     

    Sama-samalah kita mengamalkan adab yang indah ini. Walaupun nampak ringan dan kecil, pasti ada kelebihan pada setiap amalan yang dianjurkan ulama-ulama Islam. Kata pepatah Arab,
    "Jangan kamu memandang ringan benda yang kecil, sesungguhnya gunung itu terhasil daripada debu-debu yang halus."
     

    * Rujukan: Kitab Min Adabil Islam, Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah
     
     

    __._,_.___
    Sent: Friday, November 30, 2012 2:16 PM
    Subject: RG2011... Adab Bersembang

    Thursday, 6 March 2014

    Janji Allah Bagi Orang Yang Mahu Berkahwin

    1- "Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)". (An Nuur : 26)
    Bila ingin mendapatkan jodoh yang baik, maka perbaikilah diri. Hiduplah sesuai dengan ajaran Islam dan Sunnah Nabi-Nya. Jadilah lelaki yang soleh, jadilah wanita yang solehah. Semoga Allah memberikan hanya yang baik buat kita. Amin.
    2-  "Dan kahwinikanlah orang-orang yang bujang diantara kamu dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan mereka dengan kurniaan-Nya. Dan Allah Maha Luas (Pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui". (An Nur: 32)
    Sebagian para pemuda ada yang merasa bingung dan bimbang ketika akan berkahwin. Salah satu sebabnya adalah kerana belum mempunyai pekerjaan. Dan yang peliknya ketika para pemuda telah mempunyai pekerjaan pun tetap ada perasaan bimbang juga. Sebahagian mereka tetap ragu dengan harta yang mereka dapatkan dari gajinya. Dalam fikiran mereka terdetik, "adakah cukup untuk berkeluarga dengan gaji sekian?".
     
    Ayat tersebut merupakan jawapan buat mereka yang masih ragu untuk melangkah ke alam pernikahan kerana alasan ekonomi. Yang perlu ditekankan kepada para pemuda dalam masalah ini adalah kesanggupan untuk memberi nafkah, dan terus bekerja mencari nafkah memenuhi tuntutan berkeluarga. Bukan besarnya wang ringgit yang perlu dibimbangkan. Kelak, Allah akan menolong mereka yang berkahwin. Allah Maha Adil, bila tanggung jawab para pemuda bertambah – dengan kewajiban menafkahi isteri-isteri dan anak-anaknya – maka Allah akan memberikan rezeki yang lebih. Tidakkah kita lihat kenyataan di dalam masyarakat, kebanyakan mereka yang bermula dengan kemiskinan, tidak mempunyai apa-apa ketika menikah, kemudian Allah memberinya rezeki yang melimpah-ruah dan mencukupkan segala kekurangannya?
    3- " Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka, iaitu seorang mujahid fi sabilillah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan seorang yang bernikah kerana ingin memelihara kehormatannya". (HR. Ahmad 2: 251, Nasaei, Tirmidzi, Ibnu Majah hadis no. 2518, dan Hakim 2: 160)
    Bagi siapa saja yang bernikah dengan niat menjaga kesucian dirinya, maka berhak mendapatkan pertolongan dari Allah berdasarkan penegasan Rasulullah s.a.w dalam hadis ini. Dan pertolongan Allah itu pasti datang.
    4- "Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir" (Ar Rum : 21)
     
    5- "Dan Tuhanmu berfirman : 'Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang memalingkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina' ". (Al Mu'min : 60)
    Ini juga janji Allah 'Azza wa Jalla, bila kita berdoa kepada Allah nescaya akan diperkenankan-Nya. Termasuk di dalamnya ketika kita berdoa memohon diberikan pasangan hidup yang agamanya baik, cantik, taat dan sbgnya. Dalam berdoa perhatikan adab dan sebab terkabulnya doa. Diantaranya adalah ikhlas, bersungguh-sungguh, merendahkan diri, mengadap kiblat, mengangkat kedua tangan, dll.
     
    Perhatikan juga waktu-waktu yang mustajab dalam berdoa. Di antaranya adalah berdoa pada waktu sepertiga malam yang terakhir dimana para malaikat turun dari langit dunia bersama-sama mengaminkan , pada waktu antara azan dan iqamah, pada waktu turun hujan, dll.
     
    Perhatikan juga penghalang terkabulnya doa. Di antaranya adalah makan dan minum dari yang haram, juga makan, minum dari usaha dan sumber yang haram, melakukan apa yang diharamkan Allah, dll.
     
    Manfaat lain dari berdoa bererti kita meyakini kekuasaan Allah, mengakui bahwa Allah itu tempat meminta, mengakui bahwa Allah Maha Kaya, mengakui bahwa Allah Maha Mendengar, dll.
     
    Sebahagian orang ketika jodohnya tidak sampai-sampai maka mereka pergi ke dukun-dukun dan bomoh berharap agar jodohnya lancar. Sebahagian orang ada juga yang menggunakan guna-guna dan sihir. Cara-cara seperti ini jelas dilarang oleh Islam. Perhatikan hadis-hadis berikut yang merupakan peringatan keras dari Rasulullah Sollallahu 'alaihi wa sallam:
    "Barang siapa yang mendatangi peramal nasib / dukun, lalu ia menanyakan sesuatu kepadanya, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam".(Hadis sahih riwayat Muslim (7/37) dan Ahmad)
    Telah bersabda Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam,
    "Maka janganlah kamu mendatangi peramal-peramal nasib itu." (Sahih riwayat Muslim juz 7 hal. 35).
    Telah bersabda Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam,
    "Sesungguhnya jampi-jampi (mantera) dan guna-guna (sihir) itu adalah (hukumnya) syirik." (Hadis sahih riwayat Abu Daud (no. 3883), Ibnu Majah (no. 3530), Ahmad dan Hakim).
    6- "Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat". (Al Baqarah : 153)
    Mintalah tolong kepada Allah dengan sabar dan solat. Tentunya agar datang pertolongan Allah, maka kita juga harus bersabar sesuai dengan Sunnah Nabi Sollallahu 'alaihi wa sallam. Juga harus solat sesuai Sunnahnya dan terbebas dari bid'ah-bid'ah.
     
    7- "Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan". (Alam Nasyrah : 5 – 6)
    Ini juga janji Allah. Mungkin terasa bagi kita jodoh yang dinanti tidak kunjung tiba. Segalanya terasa sulit. Tetapi kita harus tetap berbaik sangka kepada Allah dan yakinlah bahwa sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Allah sendiri yang menegaskan dua kali dalam Surah An- Nasyrah.
     
    8- "Hai orang-orang yang beriman jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu".(Muhammad : 7)
    Supaya Allah Tabaraka wa Ta'ala menolong kita, maka kita tolong agama Allah. Baik dengan berinfak di jalan-Nya, membantu penyebaran dakwah Islam dengan penyebaran buletin atau buku-buku Islam, membantu penyelenggaraan pengajian, dll. Dengan itu semoga Allah menolong kita.
     
    9- "Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya.Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa". (Al Hajj : 40)
     
    10- "Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat". (Al Baqarah :214)
    Itulah janji Allah. Dan Allah tidak akan menyalahi janjinya. Kalaupun Allah tidak / belum mengabulkan doa kita, tentu ada hikmah dan kasih sayang Allah yang lebih besar buat kita. Kita harus berbaik sangka kepada Allah. Inilah keyakinan yang harus ada pada setiap muslim dan muslimah.
     
    Jadi, kenapa ragu dengan janji Allah?
     
    Wallahu'alam
     

    + ("\(.:...:.)/") Rawwwwwrrr!