Thursday, 24 April 2014

Suara Perempuan Itu Aurat ?

Membetulkan salah faham. Berkenaan suara wanita,
  1. bilakah masanya aurat?
  2. bilakah masanya harus?
Dalil bahawa HARAMnya wanita menyanyi depan bukan mahram.
Suara wanita hukum asalnya bukan aurat. Tapi suara wanita yg dilembutkan atau dilenggok-lenggokkan menjadi alunan atau nyanyian yg merdu atau lunak, itulah aurat.
 
Dalilnya:
"Maka janganlah kamu wahai wanita, merendahkan (melembutkan) suaramu maka dibimbangi orang yang berpenyakit di hatinya beringinan jahat kepadamu, maka bercakaplah hanya dengan kata-kata yang baik (kandungan dan tatacaranya)" (Surah Al-Ahzab : 32)
Para ulama tafsir menyebut, suara wanita yang dilagukan adalah termasuk dari kecantikan-kecantikan (yang tidak harus dipertonton dan diperdengarkan kepada lelaki bukan mahram) tiada khilaf dalam hal ini (Adwa al-Bayan, 5/10 : At-Tashil Li Ulum At-Tanzil, 3/137)
 
Imam As-Suddi berkata: larang ini bermaksud larangan kepada kaum wanita menipiskan suaranya (lembut, lunak dan manja) apabila bercakap di hadapan khalayak lelaki.
 
Imam Qurtubi pula mengatakan, kerana suara yang sebegini akan menjadikan orang-orang lelaki munafiq dan ahli maksiat berfikir jahat (Tafsir Ibn Kathir, 3/483 ; Al-Jami' Li Ahkam Al-Quran, 14/177)
 
Yang dilembutkan dengan sengaja, dimanjakan dan dimerdukan. Ianya adalah diharamkan untuk diperdengarkan kepada khalayak lelaki secara Ijma' selama-lamanya. ( An-Nihayah, Ibn Athir, 42/2 ; Lisan al-Arab, Ibn Manzur , 73/8 ; Hasiyah At-Tohawi ; 1/161)
 

Tidak Mengharapkan Balasan dan Pertolongan

Kita tidak perlu terlalu mengharapkan sesuatu perkara yang telah kita lakukan seperti balasan daripada pertolongan yang telah diberikan. Dan kita juga tidak boleh mengharapkan bantuan orang tanpa berusaha atau mengharapkan sesuatu yang tidak mungkin dapat dicapai dan dilakukan oleh manusia biasa.
 
Kita perlu memeliharan hati agar sentiasa berfikiran terbuka dan positif dalam kehidupan seharian antaranya adalah seperti berikut:
 
1. Tanpa mengharapkan balasan di atas pemberian atau pertolongan yang diberikan dan mesti menerima dengan hati yang ikhlas.
 
2. Memohon sesuatu atau berdoa kepada Allah S.W.T, mesti diiringi dengan usaha dan menyedari bahawa Allah S.W.T yang Maha Mengentahui dan hanya Allah S.W.T sahaja yang boleh memperkenankan permintaan dan harapan seseorang.
3. Jangan mengharap dan meminta bantuan orang lain semasa menghadapi masalahsebolehnya cubalah sedaya upaya untuk menyelesaikannya sendiri masalah itu.
 
4. Jangan mengharap sumbangan atau ehsan daripada orang lain semasa mengalami kesempitan hidup sebolehnya mestilah berusaha untuk memperbaiki hidup.
 
Setiap sesuatu hanya akan berlaku dengan keizinan Allah S.W.T tetapi seseorang tidak boleh mengharapkan sesuatu tanpa melakukan apa-apa usaha. Oleh itu setiap manusia perlu berdoa, berusaha dan bertawakal. Begitu juga dalam menjalani dalam kehidupan seharian, jangan mengharap bantuan orang lain..
 
 
 
 
Sent: Monday, June 20, 2011 4:16 AM
To: undisclosed recipients:
Subject: [Mahligai] ~~~Tidak Mengharapkan Balasan dan Pertolongan~~~

Doa bagi mengekalkan kasih sayang

Assalamualaikum warahmatullah,
 
Saya bukanlah seorang yang pandai berfalsampah berfalsafah, tetapi untuk sesekian kalinya, saya berehat seketika daripada memikirkan persoalan yang berat-berat dan hari ini cuba bercakap mengenai perkara yang relax dan ringan iaitu tentang kasih sayang. Hari ini saya dikejutkan dengan kisah perceraian Azrinaz. Esok lusa entah siapa pula yang bercerai-berai. Begitulah episod kehidupan suami isteri yang goyah dilambung badai.
 
Saya pernah diberitahu oleh seseorang, katanya, "Aku ni sayang lagi dengan mem aku, tapi kasih tu sudah tak ada." Aik...? Kasih dan sayang tak samakah? Hemm.. Menurutnya lagi, tak sama. Adapun perasaan kasih itu 'akan menyebabkan diri ingin mengasihi dan dikasihi' oleh pasangan (selalunya kekasihlah). Manakala perasaan sayang itu sekadar 'satu perasaan sementara masih ada'. Ini serba sedikit penjelasan yang diberikan yang masih saya ingati dan faham. Huraiannya panjang, agak sukar untuk saya menuliskan ke semuanya di sini.
Apa perbezaan antara kasih dengan sayang? Siapa yang boleh berikan penjelasan, sila-silalah kongsikan dengan saya. Mungkin perasan kasih itu sudah tiada kerana sudah bertukar menjadi kasih + an = kasihan… ? Hemmm… Jika kasih bertukar kasihan, itu sudah petanda parah namanya...
 
Apakah erti kasih sayang dan cinta dalam Islam? Menurut laman sesawang web JAKIM, kasih sayang dan cinta adalah fitrah manusia yang normal yang dikurniakan oleh Allah SWT. Dalam Islam fitrah sedemikian mestilah disalurkan mengikut jalan yang telah ditetapkan oleh Syarak.
 
Bagaimana pula caranya untuk memelihara perhubungan yang baik dan suci? Menurut JAKIM lagi, perhubungan yang baik dan suci sesama manusia mempunyai hubungan kait yang rapat dengan hubungan manusia itu dengan Pencipta iaitu dengan Allah SWT.
 
Oleh yang demikian setiap manusia mestilah mempunyai hubungan yang baik dengan Allah SWT demi memastikan hubungan yang baik diperolehi sesama manusia, sebagaimana firman Allah SWT, mafhumnya,
"Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia, dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah dan mereka diliputi kerendahan. Yang demikian itu karena mereka kafir kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi tanpa alasan yang benar. Yang demikian itu disebabkan mereka durhaka dan melampaui batas." (Surah ali-Imran, 112)
Untuk lebih mudah faham, maksudnya, pasti ditimpa kehinaan ke atas mereka (manusia) di mana sahaja mereka berada melainkan mereka yang mempunyai hubungan yang baik dengan Allah SWT dan manusia.
 
Kasih sayang tergantung di Arasy
Dari Aisyah r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud,
"Rahim (kasih sayang) itu tergantung di Arasy." Katanya lagi, "Siapa yang menghubungkanku, menghubungi pula Allah akan dia dan siapa memutuskanku, memutuskan pula Allah akan dia." (Hadis riwayat Muslim)
Seseorang yang mencintai Allah SWT dan Rasul-Nya, dia akan mencintai dan dicintai dan barang siapa yang tidak mencintai Allah SWT dan Rasul-Nya, dia akan tidak akan pula mencintai dan dicintai.
 
Dalam apa-apa saja perhubungan yang telah pudar kasih dan sayangnya, kenalah muhasabah diri dan buat check list, adakah kita masih menjaga hubungan kita dengan Allah SWT dan Rasul-Nya?
 
Kasih dan sayang bukanlah sesuatu yang boleh dikekalkan dengan hanya berpeluk tubuh tanpa perlu berbuat apa-apa. Kasih dan sayang perlu dipupuk dan dibajai selalu. Cuba kita lihat perhiasan tembaga tinggalan nenek, jika tidak digilap, sudah tentulah rupanya suram dan muram. Kalau ada kenduri kahwin yang memerlukan penggunaan perhiasan tembaga ini, barulah sibuk anak-cucu menggosok tembaga dengan 'brasso', hem.. berkilat semula setelah digilap. Secara logiknya, mana mungkin sebiji benih boleh tumbuh menjadi sebatang pokok yang gagah dan sihat, tanpa perlu disiram, dibajai, digembur-gemburkan tanahnya, dirumput dan sebagainya. Begitu juga dengan kasih dan sayang. Jangan campan benih dan tunggu sahaja atau hanya menggilap tembaga sekali dua dalam setahun. MESTI baja hari-hari, MESTI gilap hari-hari... erk... penat weh! Tapi, insya Allah, berbaloi hasilnya nanti.
 
Jika sayang masih ada tetapi kasih sudah pudar, apa kata kita cuba amal-amalkan doa yang saya petik dari Jakim. Ini adalah antara ayat yang boleh diamalkan bagi mengekalkan perasaan cinta dan kasih sayang pasangan kita hanya untuk kita sahaja.
 
[QS3:31] Qul in kuntum tuhibbu-na Allaha fattabi 'u-ni yuhbibkumullahu wayaghfir lakum dzunu-bakum waallahu ghafu-run rahiim.
 
Terjemahannya :
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu." Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah ali-Imran, 31)
Hendaklah diamalkan ayat di atas dengan membacanya sehingga akhirnya dan diniatkan selepas membaca supaya hubungan suami isteri atau keluarga rapat dan bahagia serta aman damai. Wallahu 'alam.
 
Mudah-mudahan bermanafaat.
Selamat beramal!
 
 

* Sumber ::

Mutiara Kata : Kasih Harta

Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya:
"Mereka yang mencari harta dunia (kekayaan) dengan jalan yang halal dan menahan dirinya dari meminta-minta (tidak menjadi pengemis) dan berusaha mencari nafkah untuk keluarganya serta belas kasihan, kasih sayang terhadap jiran tetangganya, nescaya di hari kiamat kelak ia akan berjumpa dengan Allah dengan mukanya berseri-seri seperti bulan purnama pada waktu malam."

Wednesday, 16 April 2014

Cara Hidup Ibu-Bapa Ketika Anak Dalam Kandungan

Proses pendidikan mula berlaku ketika bayi masih berada dalam kandungan ibunya. Pendidikan pada peringkat ini lebih bercorak kerohanian, iaitu:
  1. Bagi ibu-ibu yang mengandung digalakkan supaya memperbanyakkan bacaan Al-Qur'an terutama Surah Yusuf, Maryam, Luqman dan At Taubah.
  2. Ibu hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah Subhanahu Wata'ala agar anak yang bakal dilahirkan itu nanti menjadi seorang anak yang soleh, berilmu, beriman, bertaqwa dan berakhlak mulia.
  3. Ibu bapa hendaklah mendapat rezeki daripada sumber yang halal supaya benih yang bakal dilahirkan itu nanti datang daripada darah daging yang halal.
  4. Ibu hendaklah makan makanan yang berzat dan sentiasa menjaga kesihatan tubuh badannya. Kebersihan diri hendaklah diutamakan bagi menjamin kesihatan anak-anak dalam kandungan. Faktor kesihatan amat dititik beratkan oleh Islam sehingga Islam memberikan kelonggaran kepada ibu yang mengandung untuk berbuka puasa sekiranya merasakan puasa itu menjejaskan kesihatan diri dan anaknya.
  5. Ketika mengandung, ibu perlulah menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan yang berlaku kepada dirinya. Pada waktu begini sememangnya keadaan ibu agak berbeza dari waktu-waktu biasa, terutamanya bagi ibu yang bakal melahirkan anak yang pertama.
 

Tuesday, 15 April 2014

Selawat ke atas Rasulullah SAW

ALLAH hanya memerintahkan hambaNya berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, tiada perintah (kewajipan) ke atas Nabi lain.
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya ALLAH dan malaikatNya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam kepadanya." (Surah Al-Ahzab: 56)
Selawat berasal daripada perkataan Arab, iaitu solat. Solat dari segi bahasa bererti doa, iaitu menyeru atau meminta. Apabila kita berdoa kepada ALLAH, bererti kita menyeru dan meminta kepada ALLAH. Itu juga yang dimaksudkan dengan selawat.
 
Apakah makna ALLAH berselawat ke atas Nabi? Selawat ALLAH ke atas Nabi bermakna pujian ALLAH serta ALLAH menyebut-nyebut nama Rasulullah di sisi malaikat di langit tujuh. Disebut-sebut nama Rasulullah SAW di sisi malaikat yang paling hampir kedudukannya dengan Arasy ALLAH.
 
Apabila berselawat, sebenarnya kita berdoa kepada ALLAH agar ALLAH memperbanyakkan puji-pujian ke atas Nabi Muhammad SAW dan menyebut nama Baginda di sisi malaikat-Nya. Ia sebagaimana disebut disebut dalam ayat al-Quran di atas.
 
Lafaz yang diucapkan "Allahumma Salli 'ala Muhammad (Ya ALLAH, selawatlah ke atas Muhammad)" atau "Sallallahu 'ala Muhammad (ALLAH berselawat ke atas Muhammad)", adalah ayat permohonan supaya ALLAH berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
 
Imam Ibnu Katsir rahimahullah mentafsirkan ayat, "ALLAH dan golongan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi" berkata, dalam ayat ini ALLAH mengkhabarkan kedudukan Nabi Muhammad SAW yang tinggi, ALLAH memuji-mujinya serta disebut-sebut namanya di sisi malaikat muqarrabin, lalu malaikat pun berselawat kepadanya.
 
Seterusnya ALLAH memerintahkan penduduk bumi agar mengucapkan selawat dan salam kepada Nabi dan menghimpunkannya bersama selawat penduduk langit agar selawat itu lengkap dan sempurna, dan dimuliakan Nabi Muhammad dengan semulia-mulianya.
 
Imam Al-Qurthubi rahimahullah ketika mentafsirkan ayat ini berkata ia secara langsung menunjukkan ALLAH memuliakan Rasulullah semasa hidupnya (ayat ini turun ketika Rasulullah hidup) dan juga setelah kewafatannya.
 
Ucapan salam ke atas Nabi
ALLAH hanya memerintahkan hamba-Nya berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, tidak ada perintah (kewajipan) selawat ke atas Nabi lain. Di situ jelas Nabi Muhammad SAW telah dikhaskan dengan satu doa, dan itu menunjukkan kedudukan Baginda SAW yang lebih tinggi berbanding golongan Nabi dan Rasul yang lain.
 
Antara faedah diambil daripada ayat ini adalah kemuliaan dan kedudukan Rasulullah SAWdi sisi ALLAH, dan perintah wajib mengamalkan satu ibadah khusus iaitu berselawat ke atas Nabi di samping ibadah lain yang disyariatkan.
 
Golongan ulama menjelaskan interaksi antara kita dengan Nabi Muhammad setelah kewafatan Baginda adalah sekadar kita berdoa kepada ALLAH untuk berselawat ke atas Baginda. Maka tidak dibolehkan sama sekali kita menyeru, meminta, atau berdoa kepada Nabi SAW.
 
Walaupun ayat ini menjelaskan kedudukan Baginda yang tinggi, tetapi tidaklah sampai kita melebihkan kedudukan Baginda daripada kedudukan yang sepatutnya, dan tidaklah sehingga kita menujukan doa dan seruan kepada Baginda. Dalam urusan meminta hajat, kita hanya meminta daripada ALLAH semata-mata.
 
Ayat ini secara langsung menjelaskan penyimpangan golongan yang berinteraksi dengan Rasulullah, antaranya dengan menyeru Baginda, dan menyedekahkan al-Fatihah kepada Baginda.
 
Ini adalah amalan baru yang diada-adakan. Kita tidak diperintahkan untuk melakukannya, bahkan golongan sahabat yang paling tinggi cintanya kepada Nabi pun tidak pernah melakukannya.
 
Dalam ayat yang sama, ALLAH turut memerintahkan supaya mengucapkan salam kepada Nabi SAW. Ini menunjukkan ada dua ibadah wajib dalam interaksi dengan Nabi iaitu berselawat dan mengucapkan salam.
 
Apa yang dimaksudkan dengan salam? Salam bererti keselamatan. Bagaimanakah ALLAH memberi keselamatan ke atas Nabi? Semasa hidup Rasulullah, telah dipelihara dan diberi keselamatan.
 
ALLAH berfirman:
"Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepada mu daripada Tuhan mu. Jika tidak kamu lakukan maka kamu tidak menyampaikan risalahNya. ALLAH akan memelihara (menjaga) kamu daripada manusia." (Surah al-Maidah: 67)
Ayat ini menunjukkan jaminan ALLAH kepada Rasulullah. ALLAH memerintahkan Baginda supaya menyampaikan apa yang telah diturunkan. Ini adalah amanah dan tanggungjawab Baginda.
 
Lalu ALLAH menjamin akan menjaga keselamatan Rasulullah daripada manusia. Ini adalah keselamatan ketika Baginda masih hidup.
 
Adapun selepas kewafatan Baginda, keselamatan dan jagaan ALLAH berterusan ke atas Baginda SAW. Pernah berlaku dalam sejarah di mana ada usaha dilakukan untuk mencuri jasad Baginda di kuburnya, namun usaha itu dapat digagalkan.
 
Sebab itu pada hari ini kita lihat di sekeliling kubur Baginda dipagari dengan dinding logam yang tebal, supaya tidak berulang kejadian seperti ini.
 
Lafaz selawat dan salam
Lafaz selawat ke atas Nabi disebutkan dalam hadis di mana seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan duduk di depan Baginda dan berkata, "Wahai Rasulullah, adapun tentang memberi salam ke atas mu telah kami ketahui, lalu bagaimana cara berselawat ke atas mu?
 
Rasulullah bersabda:
"Ucapkanlah: Allaahumma salli 'ala Muhammad wa 'ala Aali Muhammad, kama sallaita 'ala Ibrahim wa 'ala Aali Ibrahim, innaka Hamidun Majid. Wabaarik 'ala Muhammad wa 'ala Aali Muhammad kama baarakta 'ala Ibrahim wa 'ala Aali Ibrahim innaka Hamiidun Majiid." (Riwayat Bukhari & Muslim)
Dalam riwayat lain, lafaz "Wabaarik" diganti dengan "Allahumma baarik". Ini adalah lafaz selawat yang paling sempurna dan tidak ada yang lebih sempurna dari itu. Kalau kita inginkan pahala selawat yang paling sempurna, inilah yang perlu kita baca, iaitu seperti yang kita baca dalam tahiyat ketika solat.
 
Adapun lafaz salam, juga seperti yang kita baca dalam tasyahhud, "At-Tahiyatu lillahi wassalawatu watthayyibaat. Assalaamu 'alaika ayyuha An-Nabiyyu warahmatullaahi wabarakaatuh." (Riwayat Bukhari & Muslim). Ini adalah lafaz yang diajar Rasulullah.
 
Bagaimanapun, Ibnu 'Umar RA yang merupakan sahabat yang faqih, sesudah kewafatan Rasulullah, membaca, "Assalaamu'alan-Nabiyyi warahmatullaahi wabarakaatuh".
 
Syaikh Al-Albani RH dalam kitab Sifat Shalat Nabi menjelaskan bahawa inilah yang sepatutnya dibaca, kerana lafaz Assalaamu'alaika (Salam ke atasmu) diucap jika Nabi bersama kita (masih hidup). Berbeza dengan Assalamu'alan-Nabiy (Salam ke atas Nabi) diucap kerana kita tidak lagi berinteraksi secara langsung dengan Nabi setelah Baginda wafat.
 
Syaikh Albani menyatakan mustahil Ibnu Umar RA mencipta sesuatu yang baru daripada dirinya, kerana Ibnu Umar terkenal sebagai orang yang sangat mengikuti dan berpegang teguh sunnah Nabi SAW.
 
Perbuatan Ibnu Umar membaca dengan lafaz ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana perintah daripada Nabi SAW atau apa yang dia pelajari daripada Baginda.
 
Selawat dan salam ini kita ucapkan kedua-duanya di dalam solat. Di samping itu kita disunnahkan untuk berselawat pada tempat yang disyariatkan seperti dalam solat jenazah, selepas azan, dalam doa, dalam majlis, apabila disebut nama Rasulullah SAW, juga pada Jumaat di mana kita disuruh memperbanyakkan selawat.
 
Dengan itu terjelas kepada kita, tidak ada istilah kirim salam kepada Nabi, dan ini termasuk bidaah yang mungkar, kerana tidak ada beza selawat dan salam dari tempat yang dekat atau jauh. Kita tidak disuruh pergi ke kubur Baginda untuk melakukan ibadah ini.
 
Sabda Nabi Muhammad SAW:
"Sesungguhnya antara hari kamu yang paling utama adalah hari Jumaat, maka banyakkanlah selawat ke atas ku pada hari itu.
 
Sesungguhnya selawat kamu dihadapkan kepada ku." Sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, bagaimana selawat kami dihadapkan ke atasmu sedang engkau telah hancur menjadi tanah?" Baginda menjawab, "Sesungguhnya ALLAH mengharamkan atas bumi jasad-jasad golongan Nabi." (Sahih, Abu Daud)
 
Sabda Baginda lagi, "Janganlah kamu jadikan kuburku tempat perayaan (pusat kunjungan). Selawatlah kepadaku, sesungguhnya selawat mu sampai kepada ku di mana pun kamu berada." (Sahih, Abu Daud)
 
 

* Oleh USTAZ IDRIS SULAIMAN, Ahli Majlis Syura Ilmuwan Malaysia (iLMU), 3 Januari 2014
 
 
 

Kepelbagaian kaedah dakwah

BAGINDA SAW diutuskan kepada umat manusia untuk menyampaikan risalah Islam dengan kadar pemikiran yang mereka fahami. Baginda SAW sentiasa bercakap dengan mereka dalam tahap bahasa dan pemikiran yang mudah difahami mereka.
 
Diriwayatkan dalam Kashf al-Khafa' oleh al-Ajluni - walaupun ada perbahasan berhubung dengan status hadith ini namun dari segi maknanya ia benar, yang menyebut akan sabda Baginda SAW bahawa
"aku diperintahkan untuk berbicara dengan manusia mengikut kadar akal mereka".
Lantaran kerana itu kita dapati para ulama muktabar ketika mengarang kitab-kitab mereka, mereka sudah pun meletakkan siapakah sasaran pembacanya. Imam al-Ghazali ra. sebagai contoh ketika mengarang Bidayatul Hidayah atau Ihya' Ulum al-Din, ia ditujukan kepada orang awam manakala kitab-kitab seperti al-Mustasfa min ilm al-usul atau Ma'arij al-Quds fi Madarij Ma'rifat al-Nafs, ia ditujukan khusus kepada ilmuwan dan para ulama.
 
Inilah juga sepatutnya pendekatan dakwah apabila tidak semua orang boleh kita sama ratakan tahap pemikiran dan akal mereka, atau penghayatan mereka terhadap ajaran agama Islam. Ada dalam kalangan masyarakat awam kita yang jahil murakkab atau digelar juga "jahil totok" dalam erti kata mereka ini tidak pernah sembahyang, tidak menutup aurat dan membuat segala jenis maksiat dan dosa tanpa sedikit pun merasa bersalah. Ada sekelompok lagi ialah golongan yang kadang-kadang taat, dan lebih banyak masa melakukan maksiat dan dosa namun ada perasaan menyesal, manakala kelompok yang terakhir ialah mereka yang lebih banyak melakukan ketaatan dengan sekali sekala terjerumus dalam maksiat dan dosa.
 
Untuk kategori manusia peringkat pertama dan kedua, mereka perlu didekati melalui pendekatan dakwah yang agak santai dan bersahaja agar mereka ini berminat untuk berada dalam majlis-majlis agama dan tidak merasakan diri mereka ini terasing, atau sudah tiada harapan untuk kembali ke pangkal jalan dan hanya menunggu masa untuk ke neraka sahaja.
 
Radio IKIM.fm baru-baru ini mengambil pendekatan santai sebegini apabila dalam Kembara IKIM.fm Sarawak di Kuching bulan lepas kami telah membuat persembahan di kawasan lalu-lalang orang ramai di Waterfront Kuching dan Alhamdulillah dengan taufiq dan hidayah  ALLAH SWT, seorang wanita telah mengucap dua kalimah syahadah. Tidak kurang juga sambutan daripada mat-mat rock yang didekati dan dikenalkan dengan radio Islam IKIMfm.
 
Begitu juga usaha-usaha mengadakan Selawat Perdana dan majlis-majlis selawat seperti itu sepatutnya dipuji dan digalakkan kerana walaupun dari satu segi ia dilihat seolah-olah sekadar majlis hiburan, tetapi sebenarnya ianya lebih daripada itu dengan pengisian peringatan yang mampu melunakkan hati-hati yang berdosa dan keras untuk mula berjinak-jinak dengan Islam. Walau apa pun kritikan terhadap majlis tersebut, sekurang-kurangnya ianya suatu yang baik dan ma'ruf, dan bukannya mungkar seperti majlis K-Pop atau Future Music Asia Festival 2014 baru-baru ini!
 
Penulis turut dimaklumkan oleh seorang sahabat bagaimana seorang yang sudah lama tidak Solat dan jauh dari penghayatan Islam dalam hidupnya, sebaik selepas Selawat Perdana telah bertanya-tanya di mana majlis-majlis ilmu untuk dia belajar kerana ingin kembali menghayati Islam setelah mula bertaubat.
 
Ya, memang benar masyarakat tidak memadai sekadar didendangkan dengan majlis-majlis berselawat sahaja. Hakikatnya, selepas daripada itu masih banyak tugasan-tugasan besar menanti. Majlis-majlis sebegitu diharapkan dapat melunakkan hati-hati yang keras yang jauh dari ALLAH SWT, manakala mampu terus membakar semangat kepada jiwa-jiwa yang telah jinak untuk semakin gigih beribadah, dan tekun menuntut ilmu agar kecemerlangan diri dapat dicapai dan seterusnya membangun ummah membina peradaban Islam.
 
 

* Oleh DR NIK ROSKIMAN, Sinar Harian, 16 April 2014

Thursday, 10 April 2014

Mutiara Kata : Persahabatan

Sabda Rasulullah S.A.W yang maksudnya:
"Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggilah ia dengan nama yang paling disenanginya."
 

Tuesday, 8 April 2014

Mutiara Kata : Manis Dunia

Daripada Abu Said al-Khudri R.A bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda,
"Sesungguhnya dunia itu manis dan indah. Dan sesungguhnya Allah Taala telah menjadikan kami sebagai khalifah di atas muka bumi, maka dia akan melihat apa yang kamu lakukan. Oleh itu takutlah dan berhati-hati terhadap dunia dan juga terhadap kaum wanita."

Thursday, 3 April 2014

Nabi Ibrahim Menguji Menantunya

Pada suatu hari, nabi Ibrahim as datang ke Mekah bertujuan untuk menziarahi anaknya Ismail. Ketika baginda tiba, nabi Ismail tiada di rumah sebaliknya ada seorang perempuan yang tidak dikenalinya dalam rumah itu. Perempuan itu merupakan menantunya sendiri tetapi baginda memang tidak mengenalinya dan perempuan itu pun tidak mengenali bapa mertuanya iaitu nabi Ibrahim. Tanpa berlengah baginda bertanya kepada perempuan itu tentang nabi Ismail. Perempuan itu memberitahu bahawa nabi Ismail keluar memburu.
 
Apabila disoal tentang suasana kehidupan mereka maka perempuan itu menjawab : " Kami hidup susah dan kesempitan ".
Nabi Ibrahim bertanya lagi : " Adakah kamu mempunyai tetamu? Adakah kamu mempunyai bekalan makanan dan minuman? ".
Jawab perempuan tadi : " Kami tidak mempunyai tetamu dan kami juga tidak mempunyai bekalan makanan dan minuman ".
 
Melihat dan memerhati kepada tingkah laku serta jawapan yang diberikan oleh perempuan itu maka nabi Ibrahim mendapati bahawa perempuan itu merupakan seorang tidak berakhlak mulia serta selama ini tidak pernah senang hati hidup bersama nabi Ismail. Dia juga bersifat bakhil dan tidak menghormati tetamu.
 
Sebelum bertolak pulang maka nabi Ibrahim berpesan kepada perempuan tadi yang juga merupakan menantunya : " Sampaikan salamku kepada suamimu dan pesanlah kepadanya agar menukar bingkai pintu rumahnya ".
 
Sebaik sahaja nabi Ibrahim meninggal rumah itu maka pulanglah nabi Ismail dalam keadaan seperti orang yang merasakan sesuatu telah berlaku sepanjang sepeninggalannya pergi memburu. Lalu baginda bertanya kepada isterinya : " Adakah ada seseorang datang menziarahimu? ".
Jawab isterinya : " Ya! ada iaitu seorang tua begini sifatnya telah datang menziarahi dan telah menyoalku tentang dirimu. Aku telah menerangkan segala apa yang berlaku kepadanya ".
 
Baginda bertanya lagi : " Adakah dia meninggalkan sebarang pesanan kepadamu? ".
Jawab isterinya : " Ya! dia telah berkirim salam kepadamu dan meminta aku memberitahumu agar engkau menukar bingkai pintu rumahmu ".
 
Mendengar jawapan daripada isterinya lantas nabi Ismail menjelaskan kepadanya : " Itulah dia bapaku dan dia telah memerintahkan aku supaya berpisah denganmu dan pulanglah kepada keluargamu semula ".
 
Nabi Ismail terus menceraikan isterinya dan mengahwini perempuan yang lain.
 
Setelah berlalu beberapa lama masa maka nabi Ibrahim datang semula ke Mekah untuk menziarahi anaknya Ismail. Kali ini sebagaimana yang pernah berlaku ketika penziarahannya yang dulu yang mana nabi Ismail tiada di rumah. Baginda mendapati ada seorang perempuan yang baru dalam rumah anaknya. Perempuan itu menyambut kedatangannya dengan penuh hormat dan diberi layanan yang baik.
 
Nabi Ibrahim bertanya perempuan itu yang juga merupakan menantunya yang baru : " Adakah kamu mempunyai tetamu? ".
Jawab perempuan itu : " Ya! iaitu engkau ".
Kemudian baginda bertanya mengenai kehidupan mereka berdua lalu perempuan itu menjawab : " Kami berada dalam keadaan baik dan bahagia ". Sambil itu dia memuji-muji Allah.
 
Sebelum pulang nabi Ibrahim berpesan kepada perempuan itu : " Apabila suamimu pulang maka sampaikan salamku kepadanya dan beritahunya supaya terus kekalkan bingkai pintu rumahnya ". Kemudian nabi Ibrahim berlalu pergi.
 
Setelah nabi Ismail tiba di rumahnya maka isterinya telah menceritakan bahawa ada seorang tua yang datang menziarahinya sepanjang ketiadaannya. Dia memberithu tentang rupa bentuk dan sifat lelaki tua itu serta menyampaikan salam dan pesanan daripada lelaki tua itu kepada nabi Ismail.
 
Mendengar penjelasan yang diberikan oleh isterinya lalu nabi Ismail dengan gembira memberitahu : " Dia merupakan bapaku dan dia berpesan agar menjagamu dan jangan menceraikanmu ".
 
Nabi Ismail terus hidup bersama isterinya itu sehinggalah beranak cucu.