Thursday, 29 May 2014

Solat, sabar ubat ujian

Sabar kekuatan dalaman sementara solat yang dilakukan dengan sepenuh jiwa raga mampu mencegah diri daripada kemungkaran dan kemaksiatan
 
"Dalam kehidupan kita di Singapura, kita dibentuk menjadi orang yang perkasa, tetapi jangan putuskan hubungan kita dengan Allah."
- Mufti Negara Singapura, Dr Mohd Fatris Bakaram.
HIDUP banyak ujian dan cabaran, tetapi kita telah diberi ubat untuk mengatasinya iaitu dengan dua 'S' - sabar dan solat.
 
Sabar adalah kekuatan dalaman yang membuat kita tabah tetapi tidak sekadar diam, sebaliknya bertindak melakukan sesuatu.
 
Solat pula menjadi talian antara hamba dengan Tuhannya bagi mendapatkan kekuatan.
 
Demikian dijelaskan oleh Mufti Singapura, Dr Mohd Fatris Bakaram, ketika menyampaikan syarahan sempena Israk Mikraj bertajuk Talian Khas Kepada Pencipta Alam di Masjid Al-Iman, Sabtu lalu.
Menurutnya, banyak pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa Israk dan Mikraj. Antaranya:
  • Ia menunjukkan kasih sayang Allah - mengurangkan solat daripada 50 kepada hanya lima kali sehari (diskaun besar, lebih daripada Jualan Raksasa Singapura) tanpa mengurangkan pahalanya.
  • Menggambarkan nikmat syurga dan seksaan neraka.
  • Menceritakan kisah Nabi Muhammad saw bertemu dengan para nabi dan mengimamkan solat bersama mereka.
  • Menunjukkan kekuasaan Allah.
  • Ia menunjukkan bahawa syariat Allah berkait antara satu dengan yang lain. Sebelum puasa, kita diingatkan tentang solat - yang diwajibkan menerusi peristiwa Israk dan Mikraj - sebulan sebelum puasa.
Menurut beliau lagi, peristiwa tersebut boleh dilihat menerusi pelbagai cara.
 
Antaranya ialah untuk menghiburkan hati nabi, sekali gus memberi kekuatan dan tenaga baru kepadanya. Sebelum peritiwa itu, Nabi kematian dua yang dikasihi dan menjadi tulang belakangnya dalam berdakwah - isterinya, Sayidatina Khadijah, dan pak ciknya, Abu Talib. Beliau juga mendapat tentangan dan dilempari batu hingga tercedera ketika berdakwah ke Taif.
 
Peristiwa itu menunjukkan kepada Nabi dan umatnya bahawa kita tetap akan menghadapi kesulitan, tetapi kita ada talian pertolongan dengan Allah.
 
"Allah memberi taliannya iaitu menerusi solat," kata beliau sambil merujuk surah Al-Baqarah (ayat 45 dan 153). Dalam kededua ayat itu, Allah menyeru kepada hamba-hamba-Nya yang beriman supaya meminta pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat.
 
"Ini ubat kuat kita, ini saluran kita - cari kekuatan daripada Allah untuk membantu kita dalam kehidupan, meminta dengan dua 'S' - iaitu sabar dan solat," kata beliau.
 
SABAR
Menjelaskan lebih lanjut, Dr Fatris berkata sabar adalah kekuatan dalaman, kekuatan jiwa.
 
"Sabar tidak bermakna diam dan tidak berbuat apa-apa.
 
"Sabar ertinya gagah dan berani untuk maju ke hadapan," ujarnya.
 
Hati manusia tidak harus menjadi seperti bol lampu (pecah ketika terhempas) dan tidak juga seperi kayu (tak berubah walau terhempas), sebaliknya harus menjadi bak bola tenis (menganjal dan memantul; lebih kuat dihentak, lebih kuat juga reaksi pantulannya).
 
Sabar juga ada beberapa jenis - sabar ketika ditimpa musibah dan sabar ketika menerima nikmat. Hamba yang sabar tidak menjauhkan diri ketika diuji (musibah atau nikmat) sebaliknya semakin tawaduk dan bersyukur menerusi amal ibadahnya.
 
Melakukan amal ibadah dan ketaatan, meninggalkan maksiat, berusaha untuk maju (dengan atasi kelemahan dan melakukan perubahan dalam masyarakat) - semua memerlukan kesabaran.
 
 
SOLAT
"Namun sekuat mana pun, kita tetap manusia dengan tahap kesabaran boleh tergugat.
 
"Maka itu, kita perlukan satu lagi 'S' iaitu solat - hubungan kita dengan Allah, untuk perkukuh diri.
 
"Jika kurang satu, kita tidak akan ke mana.
 
"Dalam kehidupan kita di Singapura, kita dibentuk menjadi orang yang perkasa, tetapi jangan putuskan hubungan kita dengan Allah," kata beliau.
 
Dr Fatris menceritakan bagaimana suatu hari beliau menjadi risau semasa memandu sebaik menyedari bahawa beliau tertinggal telefon bimbit kerana ia merupakan talian penting dengan banyak pihak.
 
Beliau juga menyedari bahawa ramai yang berperasaan serupa.
 
"Apabila tertinggal atau hilang talian itu, kita cemas dan bimbang.
 
"Apakah kita tidak bimbang akan talian kita dengan Allah iaitu solat?
 
"Pagi-pagi lagi kita sudah disuruh menyambung talian kita dengan Allah.
 
"Allah sudah siapkan talian, tapi kita yang putuskan," kata beliau kepada jemaah yang penuh sesak di masjid.
 
Dr Fatris menekankan bahawa Allah tidak minta banyak daripada kita, tidak meminta membayar balik terhadap pelbagai nikmat (panca indera, rezeki, umur, tidur dan sebagainya) yang diberikan kepada kita, sekadar memerintahkan kita supaya mendirikan solat lima kali sehari sebagai tanda ingat dan syukur kepada-Nya.
 
Nabi sendiri solat hingga bengkak kaki sebagai cara melahirkan kesyukurannya.
 
"Nabi mengajar kita solat bukan untuk bayar balik, bukan untuk elak daripada neraka, tetapi juga untuk berterima kasih di atas pelbagai nikmat yang diberi kepada kita," jelas beliau.
 
Dalam ceramah itu, beliau juga mengingatkan perintah Allah supaya solat dan membaca Al-Quran sebagai peringatan, dengan memetik surah Al-Ankabut: ayat 45, bermaksud:
"Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu iaitu al-kitab (Al-Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya daripada ibadah lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan."
 
Beliau menjelaskan perbezaan antara solat dan mendirikan solat.
 
Solat, ujarnya, ialah sekadar bersembahyang yang mudah dilakukan, tetapi 'mendirikan solat' bermakna melakukan dengan penuh kefahaman, khusyuk dan sepenuh jiwa raga, berasa diri rendah dan sedar akan keagungan Allah - jiwai solat. Solat begini yang dapat mencegah diri daripada kemungkaran dan kemaksiatan," jelasnya.
 
Merumuskan, Mufti berkata bahawa banyak pengajaran boleh ditimba daripada peristiwa Israk dan Mikraj.
 
"Hidup banyak ujian dan kita boleh mengatasinya dengan sabar dan solat.
 
"Mari kita jadikan mikraj juga wujud dalam diri kita. Kita mikraj sekurang-kurangnya lima kali setiap hari - mengakui kelemahan kita dan berharap Allah memberi kekuatan kepada kita.
 
"Tidak ada orang yang beriman yang bertenang jika hubungannya dengan Allah terputus. Oleh itu, jaga solat kita," kata beliau lagi.

Wednesday, 28 May 2014

GAJI DUNIA vs GAJI AKHIRAT

FB @ Ustaz Zahazan Mohamed menulis:
 
Renungan dari seseorang tentang ...
 
GAJI DUNIA vs GAJI AKHIRAT
 
Sesetengah manusia Muslim kelihatan TIDAK  KISAH jika angka ibadah atau PAHALA mereka yg menjadi SAHAM AKHIRAT berada pada tahap statik selama 20 tahun. Ikuti kisah ini:
 

Pada suatu hari Ustaz Zulkifli  menegur jemaah suraunya agar cuba membaca al-Quran setiap hari sehingga khatam kerana sebahagian besar jemaah HANYA MEMFOKUSKAN BACAAN YASIN SAHAJA PADA MALAM TERTENTU.
 
Zamri menjawab: " Apalah Ustaz! Yasin pun al-Quran juga, SEKURANG2NYA kami baca juga Yasin walau sekali seminggu!"
 
Ustaz Zulkifli:  " Saya kenal awak sejak tahun 1993 lagi. Sudah 20 tahun, sejak dari dulu itulah juga alasan awak. Bagaimana kalau awak kerja selama 20 tahun TAPI GAJI TAK PERNAH NAIK? Mesti awak tak berpuas hati!"
 
Zamri lalu tersenyum tawar.
 
 
Utamakan gaji akhirat!
 
Firman Allah:
وَابتَغِ فيما ءاتىٰكَ اللَّهُ الدّارَ الءاخِرَةَ ۖ وَلا تَنسَ نَصيبَكَ مِنَ الدُّنيا ۖ وَأَحسِن كَما أَحسَنَ اللَّهُ إِلَيكَ ۖ وَلا تَبغِ الفَسادَ فِى الأَرضِ ۖ إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ المُفسِدينَ
Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan
(al-Qasas[28:77]).
Juga firman Allah:
 
مَن كانَ يُريدُ حَرثَ الءاخِرَةِ نَزِد لَهُ فى حَرثِهِ ۖ وَمَن كانَ يُريدُ حَرثَ الدُّنيا نُؤتِهِ مِنها وَما لَهُ فِى الءاخِرَةِ مِن نَصيبٍ
 
Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan) dan dia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak
(al-Qasas[42:20]).
 
 
 
 

Elakkan Berkata "Kalau"

Hadith:
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata:Sekiranya (kalau) aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah:Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya ˜kalau' akan membukakan pintu amalan syaitan. ( Riwayat Muslim )
Huraian Hadith:
  1. Kekuatan seseorang Muslim itu diukur bukan sahaja dari segi fizikal (tubuh badan) tetapi juga dinilai daripada aspek kekuatan iman. Bahkan itulah yang paling penting.
  2. Orang yang sentiasa bewaspada terhadap nikmat kehidupan di dunia tidak akan mudah terjerumus dalam perangkap syaitan. Segala tindakan yang diambil mencerminkan ketaqwaannya kepada Allah dan dia sekali-kali tidak membiarkan kebaikan dan keburukan yang menimpanya sebagai suatu kegembiraan (kemenangan) dan kesedihan semata tetapi percaya bahawa semuanya itu mempunyai hikmah yang tersendiri daripada Allah untuk diambil pengajaran.
  3. Ucapan ˜kalau' tidak harus diamalkan kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak redha dengan apa yang telah berlaku. Sebaliknya kita hendaklah sentiasa berfikiran positif dan ingat bahawa segala yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk itu adalah daripada kelemahan diri kita sendiri. Oleh sebab itu Islam menyuruh umatnya agar bertawakkal (berserah) kepada Allah SWT dalam melakukan sesuatu usaha dan percaya bahawa setiap sesuatu itu tidak akan berlaku tanpa keizinan daripada-Nya jua.
 

* Oleh Nasrudin Hassan

Tuesday, 27 May 2014

Sebarkan ayat-ayat cinta

"MASUK Islam maksudnya masuk Melayu kan…?"
"Tak boleh ke orang bukan Islam pegang al-Quran?" 
"Nama jer Islam, tapi perangainya teruk!"
"Jangan cakap soal agama. Ini isu sensitif"
Persoalan di atas menunjukkan betapa dangkalnya ilmu dan pemahaman sebilangan masyarakat Muslim mahupun bukan Islam di negara ini terhadap Islam. Apabila ini terjadi, maka timbullah salah faham dan berprasangka buruk sehingga mengeruhkan keharmonian rakyat beragama di negara ini.
 
Bak kata orang 'tak kenal maka tak cinta'. Dalami ilmu dan sebarkan ayat-ayat cinta ALLAH mungkin inilah antara langkah memberi pencerahan dan kefahaman dalam masyarakat umum terhadap persoalan seumpama itu.
Apabila ditanya mengenai kemelut Islam masa kini, pendakwah bebas, Ustaz Hussain Yee  berkata, Islam itu sama di mana-mana, hanya amalan Muslim agak berbeza dari satu tempat ke tempat lain.
 
"Agama jika hanya dengar dan ikut tanpa banyak tanya, ini bermakna amal tanpa ilmu. Ajaran Islam perlu berasaskan dalil al-Quran dan Sunnah.
 
"Tapi kebanyakan amalan kita bergantung kepada kefahaman guru tertentu yang kadangkala tidak berasaskan dalil yang jelas. Akhirnya Islam yang sempurna itu apabila ditokok tambah sehingga tidak dapat bezakan antara agama dan adat," katanya.
 
Pada zaman digital ini masyarakat terdedah dengan pelbagai maklumat dari dunia tanpa sempadan melalui internet seperti YouTube dan Facebook. Generasi baru lebih akrab dengan dunia teknologi maklumat (IT).
 
Sikap mereka yang suka bertanya dan berfikiran kritikal menyebabkan ada yang tak mudah mengikut agama nenek-moyangnya.
 
"Untuk mendekati golongan tersebut, perlu ada hikmah dan sampaikan kebenaran serta meyakinkan mereka mengenai kesempurnaan Islam. Islam adalah agama hak ALLAH. Dalam soal agama tidak boleh main-main. Perlu ada penjelasan rasional," katanya.
 
Beliau berharap pihak berkuasa mengadakan pertemuan secara tertutup dengan ahli ilmu untuk membincangkan isu semasa dengan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan majlis agama. Inisiatif tersebut sangat penting supaya kita dapat satu keputusan dan rumusan yang rasional, praktikal dan logikal untuk disampaikan masyarakat.
 
"Cukuplah tuduh-menuduh, fitnah-memfitnah, kata-mengata dan serang menyerang sesama kita melalui media massa demi kebaikan agama dan diri kita.
 
"Jika ada masalah, mestilah duduk berbincang dengan ilmu, bukan emosi supaya fitnah terhadap Islam dan umat Islam dapat diatasi dengan baik," katanya. 
 
Tertarik kisah Umar RA
Hussain Yee berdakwah sejak 1970an, telah lama tidak muncul di kaca televisyen, media cetak dan elektronik di tanah air untuk perkongsian ilmu agama. Apabila ditanya hal ini,beliau sendiri lupa bila kali terakhir bertemu pihak media. Namun, beliau sering menerima jemputan di luar negara dan ceramahnya boleh diikuti melalui YouTube.
 
Menyingkap latar belakang dirinya, anak kelahiran Kedah ini berasal daripada keluarga yang beragama Buddha. Ketika berumur 14 tahun, dia mendambakan dirinya di kuil.
 
"Setelah mendalami agama itu, saya dapati ada yang tak sesuai dengan fitrah saya seperti tak boleh makan daging dan pakaian ringkas. Sedangkan saya fikir masa tu hidup ini hanya sekali perlu berseronok. 
 
"Suatu hari saya ke rumah kakak saya yang beragama Kristian. Saya anuti agama itu kerana tertarik amalannya lebih praktikal. Saya sempat belajar di sekolah mubaligh di Pulau Pinang 
 
"Apabila mendalami Bible, saya rasa ragu-ragu terhadap konsep Trinity. Selepas itu saya baca buku mengenai Islam. Pada masa itu tak ada seorang pun rakan Muslim bercerita mengenai Islam. Malah mereka tak kisah pun soal dakwah," katanya ketika ditanya dalam sesi temu ramah di Peace TV yang boleh ditonton melalui YouTube.
Hussain Yee tertarik terhadap Islam setelah membaca buku kisah Sahabat Rasulullah SAW, Umar bin Al-Khatab RA yang bengis dan kejam tetapi tersentuh hatinya setelah membaca ayat al-Quran (Surah Toha: 1- 5).
 
"Ini menunjukkan betapa penting al-Quran itu ditunjukkan dan dikongsi dengan orang lain untuk mengetahui mukjizatnya yang mampu membuka hati seseorang kembali ke jalan benar," katanya yang giat menyebarkan ayat-ayat cinta ALLAH di merata tempat. 
 
Hussain Yee berhijrah kepada Islam pada 1968. Pada awal keislamannya, beliau tidak terlepas daripada dugaan apabila ibunya menentang kerana menyangka anaknya masuk Melayu. Namun setelah diberi penjelasan dan melihat perubahan diri Hussain Yee yang lebih positif, barulah ibunya menerimanya dengan hati terbuka.
 
"Pengalaman buruk saya ketika mula masuk Islam dan tinggal di masjid, pernah dihalau dan barang dicampak ke luar.
 
"Mereka kata saya pengacau. Sedangkan saya menjaga masjid dan membersihkan tandas. Tapi syukur ada penduduk mengajak saya tinggal bersamanya," ujar bapa dua anak ini.
 
Perkenalan Hussain Yee dengan dua saudara Islam dari Jerman membuatkan beliau mengambil keputusan untuk mengikuti mereka dan mempelajari pengajian Islam di Universiti Madinah.
 
Beliau pernah aktif jalankan dakwah, mengikut kumpulan tabligh sebelum bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) pada 1980. Hussain Yee kemudian mengasaskan Pertubuhan Al-Khaadem, Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya 1984 dan didaftarkan secara rasmi pada 1992.
 
"Al-Khadeem berslogankan Serving Mankind bertujuan berkhidmat kepada semua kaum tanpa mengira agama. Aktiviti dijalankan seperti lawatan ke rumah orang miskin dan perhimpunan keluarga, selain kelas agama serta kursus saudara baru.
 
"Aktiviti tersebut secara langsung dapat menunjukkan keperibadian Muslim. Kami menyampaikan dakwah dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris," katanya yang juga pengasas Rumah Harapan Al-Khadeem.
 
 

* Oleh FOUZIAH AMIR, Sinar harian, 14 Februari 2014

Mutiara Kata : Takwa

Daripada Abi Zar Jundub Bin Junadah dan Abdi Rahman Muaz Bin Jabal R.A, daripada Rasulullah S.A.W, telah bersabda,
"Bertakwalah kamu kepada Allah bila dan di mana saja kamu berada, susulkanlah kejahatan dengan kebaikan nescaya kebajikan itu akan menghapuskan kejahatan dan bergaullah dengan sesama manusia dengan akhlak yang mulia."
 

Monday, 26 May 2014

Perkara Yang Mengeratkan Persahabatan

Hadith :
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
"Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggilah ia dengan nama yang paling disenanginya."
Riwayat Al-Tabrani
 
Huraian :
  1. Kita hendaklah sentiasa mempamerkan keperibadian seorang muslim dalam setiap pergaulan kerana ia merupakan aset penting bagi kejayaan diri serta organisasi yang dipimpin.
  2. Tutur kata yang baik, beradab dan dipenuhi unsur-unsur keikhlasan akan memberikan motivasi yang paling berkesan kepada setiap individu dalam masyarakat sekeliling sehingga membentuk kualiti ummah yang terbaik dan menjadi contoh kepada yang lain.
  3. Jika kita mahu dihormati maka kita hendaklah terlebih dahulu menghormati orang lain sama ada dengan mengucapkan salam, bersikap peramah dan mengutamakan keperluannya. Ini dengan sendirinya akan menerbitkan perasaan hormat orang itu terhadap kita dan seterusnya menimbulkan rasa kasih dan sayang antara satu sama lain.
 
 

Keberkatan surah al-ikhlas

 
Ketika Memulakan Kerja
Bacalah ayat ini sebelum anda memulakan apa-apa saja kerja kerana dengan bacaan ini akan keluarlah iblis dan syaitan yang berada didalam tubuh kita dan juga di sekeliling kita, mereka akan berlari keluar umpama cacing kepanasan.
 
Sebelum Masuk Ke Rumah
Sebelum anda masuk rumah, bacalah surah Al-Ikhlas (sebanyak 3 kali). Masuklah rumah dengan kaki kanan dan dengan membaca bismillah. Berilah salam kepada anggota rumah dan sekiranya tiada orang di rumah berilah salam kerana malaikat rumah akan menyahut.
Amalkanlah bersolat kerana salam pertama (ianya wajib) yang diucapkan pada akhir solat akan membantu kita menjawab persoalan kubur. Apabila malaikat memberi salam,   seorang yang jarang bersolat akan sukar menjawab salam tersebut. Tetapi bagi mereka yang kerap bersolat, amalan daripada salam yang diucap di akhir solat akan menolongnya menjawab salam malaikat itu.
 
Ketika Sakit
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia, maka dia tidak akan membusuk di dalam kuburnya, akan selamat dia dari kesempitan kuburnya dan para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian siratul mustaqim lalu menuju ke syurga.
(Demikian diterangkan dalam Tadzikaratul Qurthuby).
Khatam al-Quran
Rasulullah SAW pernah bertanya sebuah teka-teki kepada umatnya:
Siapakah antara kamu yang dapat khatam Qur'an dalam jangka masa dua-tiga minit?
Tiada seorang dari sahabatnya yang menjawab. Malah Saiyidina Ummar telah mengatakan bahawa ianya mustahil untuk mengatam Qur'an dalam begitu cepat.
 
Kemudiannya Saiyyidina Ali mengangkat tangannya. Saiyidina Ummar bersuara kepada Saiyidina Ali bahawa Saiyidina Ali (yang sedang kecil pada waktu itu) tidak tahu apa yang dikatakannya itu. Lantas Saiyidina Ali membaca surah Al-Ikhlas tiga kali. Rasulullah SAW menjawab dengan mengatakan bahawa Saiyidina Ali betul.
Membaca surah Al-Ikhlas sekali ganjarannya sama dengan membaca 10 jus kitab Al-Quran. Lalu dengan membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali qatamlah Quran ker ana ianya sama dengan membaca 30 jus Al-Quran.
 
Pahala Membacanya
Berkata Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Ketika saya (Rasulullah SAW) israk ke langit, maka saya telah melihat Arasy di atas 360,000 sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah 300,000 tahun perjalanan. Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang Sahara itu seluas dari timur hingga ke barat.
 
Pada setiap padang sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang mana kesemuanya membaca surah Al-Ikhlas. Setelah mereka selesai membaca surah tersebut maka berkata mereka: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini kami berikan kepada orang yang membaca surah Al-Ikhlas baik ianya lelaki mahupun perempuan.
Sabda Rasulullah SAW lagi:
Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya Qul Huwallahu Ahadu itu tertulis di sayap malaikat Jibrail a.s, Allahhus Somad itu tertulis di sayap malaikat Mikail a.s, Lamyalid walam yuulad tertulis pada sayap malaikat Izrail a.s, Walam yakullahu kufuwan ahadu tertulis pada sayap malaikat Israfil a.s.
 
 
…Wallahu a'lam
 
 

Mengapa Allah bezakan antara halal dan haram?

Pernahkah Allah menyuruh umatnya menghapuskan segala yang haram?
Atau sekadar menghindarkan benda yang haram?
 
Tanpa ada halal dan haram wujud bersama, bagaimana manusia, terutama umat Islam boleh diuji akalnya untuk mendekati yang halal dan menjauhi yang haram?
Ingatlah, benda haram, seperti khinzir juga adalah mahkluk ciptaan Allah. Setiap yang dicipta ada tujuannya, ada sebagai sumber makanan, ada sebagai ujian kepada manusia, menguji iman dan sama ada kita akan ingkar pada ajaran Allah dan sebagainya.
 
Pemimpin dan pengikut Islam boleh berusaha mengurangkan elemen haram di sekeliling mereka, namun jangan sesekali meletakkan objektif untuk menghapuskannya sama sekali, kerana ia tidak mungkin berlaku.
 
Sebagai contoh, anggota badan seperti tangan, kaki, mulut, mata, telinga dan alat kelamin diberi Allah - dan Allah melalui Quran turut mengajar bahawa ia harus digunakan secara halal dan benda halal, namun tetap ada pemimpin dan pengikut Islam yang ingkar arahan-Nya - mulut digunakan untuk menipu, tangan diguna untuk mencuri, kaki digunakan untuk melukakan orang lain, alat kelamin digunakan untuk berzina dan sebagainya.
 
Seperti juga seorang bapa yang takut anaknya terjatuh, beliau cuba meratakan lantai rumahnya, menghabiskan duit membeli karpet dan sebagainya - si anak sentiasa berasa selamat... tapi apabila keluar dari rumah, anak ini tidak mengenal apa yang bahaya dan tidak kerana bapanya tidak pernah mengajarnya, dan hanya melindunginya secara buta-buta.
 
Sebagai satu contoh lagi, antara memilih untuk menonton wayang atau menghadirkan diri ke kursus agama, anak kita perlu dididik membuat keputusan yang betul, daripada hanya memaksanya menghadiri kursus agama sahaja.
 
Bahkan, di setiap kamar tidur, antara suami-isteri juga boleh berlaku hubungan yang haram sekiranya bisikan syaitan menguasai minda kerana kekuatan agama yang nipis.
 
Hanya didikan agama yang cukup sahaja dapat seseorang pemimpin dan pengikut Islam membezakan yang halal daripada haram, dan yang haram daripada yang halal.
 
Yang perlu ditekankan ialah cara pemimpin dan pengikut Islam untuk mengenal dan membezakan apa yang haram, dan belajar menguatkan iman dengan didikan agama yang cukup untuk menghindarinya. Itu adalah lebih baik sebenarnya.
 
Mengetahui halal bukan bermakna melakukannya, mengetahui yang haram, bukan bermakna menjauhinya. Kerana tahu sahaja tiada beza dengan tidak tahu, kalau tidak diiringi dengan tindakan.
 
 

* Oleh Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
 

* Sumber
 
 

Thursday, 22 May 2014

Kaedah memahami makna larangan dalam agama

ALLAH menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. - Gambar hiasan
 
LARANGAN adalah tuntutan berlawanan dengan suruhan. Larangan didefinisikan sebagai tuntutan supaya tidak melakukan sesuatu. Nas syarak biasanya menggunakan perkataan 'jangan' atau 'jauhilah'.
 
Apa jua larangan dalam al-Quran dan Sunnah secara asasnya membawa maksud haram, kecuali jika ada pengkhususan atau nas lain yang memalingkan maksud haram itu kepada maksud makruh.
 
Syeikh Salim bin 'Eid Al-Hilali dalam kitab syarahnya - Riyadhus Salihin menyebutkan kaedah untuk memahami larangan dalam agama.
 
Kaedah pertama: Larangan adalah tuntutan supaya menjauhi hal yang dilarang itu sepenuhnya.
 
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
"Jika aku melarang kamu akan sesuatu, maka jauhilah ia. Dan jika aku menyuruh kamu melakukan sesuatu, maka lakukanlah sedaya yang kamu mampu." (Riwayat Bukhari & Muslim)
 
Beza larangan dan suruhan
Dapat dilihat perbezaan antara larangan dan suruhan. Dalam larangan, Rasulullah SAW mengatakan hendaklah kamu jauhi. Baginda tidak mengatakan 'sedaya yang kamu mampu', Baginda tidak memberi apa-apa pengecualian dalam hal yang dilarang. Berbeza dengan suruhan, ia dikaitkan dengan kemampuan.
 
Contoh jelas adalah larangan berjudi. Kita dilarang berjudi sepenuhnya, tanpa ada kelonggaran, pengecualian atau situasi di mana kita dibolehkan berjudi. Berbeza suruhan, misalnya suruhan solat. Secara prinsipnya kita disuruh solat fardu secara berdiri. Tetapi kewajipan itu gugur jika tidak mampu berdiri, dibolehkan duduk. Jika tidak mampu duduk, dibolehkan baring.
 
Hikmah dibezakan antara suruhan dan larangan, adalah kerana larangan tidak menuntut apa juga perbuatan, sebaliknya ia adalah tuntutan supaya tidak melakukan apa-apa. Tuntutan tidak melakukan apa-apa sebenarnya tiada yang lebih mudah daripada itu. Berbeza dengan suruhan, kita dituntut untuk melakukan sesuatu.
 
Kaedah kedua: Larangan ada kalanya disebabkan faktor lain.
 
Perbuatan itu asalnya diharuskan, tetapi menjadi haram disebabkan faktor lain. Ia dinamakan 'haram lighairihi'. Haram terbahagi kepada dua; haram lidzatihi (haram secara zatnya) dan haram lighairihi (haram kerana faktor yang lain).
 
Haram lighairihi termasuk dalam kaedah Saddu Al-Dzari'ah iaitu menutup pintu yang membawa kepada haram (lidzatihi). Ia bertujuan langkah pencegahan dengan menutup jalan dan sebab yang membawa kepada haram lidzatihi. Contohnya zina. ALLAH berfirman: "Jangan kamu dekati zina" (Surah al-Isra: 32). ALLAH tidak mengatakan, "Jangan kamu berzina".
 
Larangan dekati zina lebih luas skopnya berbanding larangan melakukan zina. Syariat Islam bukan sahaja melarang persetubuhan haram. Lebih daripada itu, segala pintu yang membawa kepada persetubuhan haram juga dilarang. Penyair Arab berkata, "Zina bermula dengan pandangan, senyuman, memberi salam, percakapan, dan pertemuan." Ini adalah mukadimah zina,.
 
Nabi Muhammad SAW bersabda:
"Telah termaktub atas anak Adam bahagiannya daripada zina. Dia akan mendapatkannya dan tidak ada jalan lari.
 
Kedua mata berzina dan zinanya melihat, telinga berzina dan zinanya mendengar, lidah berzina dan zinanya percakapan, tangan berzina dan zinanya menyentuh, kaki berzina dan zinanya berjalan, hati berkeinginan dan bersyahwat, dan kemaluan akan membenarkan semua itu atau mendustakannya." (Riwayat Bukhari)
Bagaimanapun, ada beza antara haram lidzatihi dan haram lighairihi. Haram lizatihi yang tidak ada pengecualian (mesti ditinggalkan sepenuhnya), sebaliknya haram lighairihi dalam keadaan tertentu ada pengecualian. Contohnya, antara mukadimah zina adalah melihat.
 
Maka kita dilarang melihat lawan jenis yang bukan mahram bahkan disuruh menundukkan pandangan,
"Katakanlah kepada lelaki beriman supaya menundukkan pandangan mereka." (Surah al-Nur: 30)
Dalam keadaan tertentu, pandangan itu dibolehkan, misalnya ketika hendak merisik, kita disuruh melihat perempuan yang ingin dinikahi, sedangkan hukum asalnya dilarang.
 
Ini kerana ia adalah haram lighairihi, dan ia membawa tujuan yang murni di sebaliknya iaitu hendak berkahwin, bertentangan sama sekali dengan zina. Kerana itu ia dibolehkan.
 
Kaedah ketiga: Keumuman larangan pada sesuatu membuatkan semua bahagian dan elemennya turut dilarang.
 
Contohnya larangan minum arak. Apabila ada larangan minum arak, ia merangkumi semua jenis dan kuantiti arak.
 
Walaupun kuantitinya sikit, walaupun tidak mabuk, hukumnya haram. Begitu juga riba. Apabila agama melarang riba, maka riba adalah haram keseluruhannya, walau 1 peratus. Tidak ada pengecualian, sedikit atau banyak tidak ada beza.
 
Kaedah keempat: Istilah 'makruh' (dibenci) dalam firman ALLAH, sabda Rasulullah, dan perkataan salaf secara umum digunakan bagi menunjukkan makna haram.
 
Dalam al-Quran, ALLAH SWT menggunakan perkataan makruh dalam Surah al-Isra ayat ke-38, di mana dalam ayat sebelumnya ALLAH menyebut perbuatan haram seperti membunuh, mendekati zina, mendekati harta anak yatim, lalu di hujungnya ALLAH berkata: "Semua itu di sisi Tuhan mu adalah makruh". Sedangkan yang disebutkan itu jelas haram berdasarkan nas-nas yang lain.
 
Kaedah kelima: Tidaklah apa jua larangan dalam agama melainkan ada maslahat di sebaliknya, dan tidaklah suatu larangan itu dicerobohi melainkan kemudaratan yang lebih besar akan menimpa. ALLAH tidak menyuruh sesuatu melainkan kepada hal yang membawa kebaikan, dan tidak melarang sesuatu, kecuali kerana kerosakannya lebih besar terhadap kita.
 
Dalam al-Quran, ALLAH mengatakan arak itu ada manfaat, tetapi mudaratnya lebih besar:
"Mereka bertanya kepada mu tentang arak dan judi. Katakanlah, 'Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosanya lebih besar dari manfaatnya'." (Surah al-Baqarah:219)
Contoh lain adalah riba. Subhanallah, apa yang dikatakan orang Yahudi dulu seperti yang disebut dalam al-Quran seolah-olah dipraktikkan orang Islam pada hari ini.
"Mereka berkata, sesungguhnya jual beli itu sama seperti riba." (Surah al-Baqarah: 275).
Lalu ALLAH menyanggah perkataan mereka dengan firman-Nya,
"Dan ALLAH menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba." (Surah al-Baqarah: 275)
Sekiranya sistem itu dijalankan tanpa riba, betapa rancak pembangunan akan berjalan, dan hakikatnya riba itu merosakkan. Namun piawaian manusia hari ini sudah terbalik akibat tidak kembali kepada panduan syariat. Apa yang mereka nampak adalah riba bagus, dan tanpa riba kita akan rugi.
 
Contoh lain adalah larangan melawan pemerintah secara terbuka. Yang dimaksudkan di sini adalah mengkritik secara terbuka, dan kita memang tegaskan perlu ada nasihat dan amar makruf dengan pemerintah secara tertutup.
 
Apabila larangan melawan pemerintah dilanggar, implikasinya rakyat benci kepada pemerintah.
 
Rakyat tidak taat kepada pemerintah, kerajaan menjadi lemah, akan timbul kekacauan. Apabila timbul kekacauan dan keadaan tidak tenteram, apa juga maslahat yang ingin dicapai tidak akan diperoleh. Ini seperti yang berlaku di negara-negara lain yang boleh kita lihat pada hari ini.
 
Kaedah keenam: Larangan membawa maksud bahawa perbuatan itu terbatal (tidak sah) jika ia dilakukan.
 
Contoh, larangan jual beli selepas azan. Jika berlaku jual beli, jual beli itu terbatal dan tidak sah.
 
Contoh lain adalah larangan berpuasa pada hari raya. Jika seseorang berpuasa, puasanya tidak tidak diterima dan dia berdosa jika tidak berbuka.
 
Penting untuk kita ketahui dan fahami kaedah ini kerana kehidupan seharian umat Islam amat terikat dan berputar pada suruhan dan larangan dalam agama.
 
Sekiranya masing-masing memahami suruhan dan larangan mengikut logik masing-masing, kesudahannya hukum-hakam agama akan jadi celaru dan keliru. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa kembali kepada panduan syarak.
 
 
 

* Oleh USTAZ IDRIS SULAIMAN (AHLI SYURA ILMUWAN MALAYSIA), Sinar Harian, 31 Januari 2014

Inilah tanda kasih sayang isteri...

KITA masing-masing tentu pernah hadapi situasi tertekan atau terdail nombor telefon orang lain secara tidak sengaja. Dan selalu juga kita akan dihubungi semula oleh orang yang terima panggilan itu.
 
Walaupun mereka mungkin berasa terganggu oleh panggilan kita, namun apabila kita minta maaf, biasanya hal itu boleh selesai dengan mudah.
 
Akan tetapi ada juga ketikanya hal ini sampai mencetuskan masalah lain. Sebagai contoh apa yang berlaku pada diri saya sendiri beberapa bulan lepas. Pada suatu hari, selepas solat Zuhur saya dapati ada banyak panggilan yang tidak berjawab daripada isteri. Pesanan suara pun banyak yang kesemuanya bernada cemas.
 
Saya segera hubunginya untuk bertanya mengapa dia telefon saya dan bertanya soalan seperti itu. Sebaik panggilan  dijawab, saya dengar suaranya  teresak-esak menangis.
 
Rupa-rupanya semasa saya solat, dia terima panggilan daripada telefon saya. Oleh kerana saya tidak bercakap dan dia pula hanya mendengar suara saya menyebut  'ALLAH'  berkali-kali, dia langsung menyangka saya dalam kecemasan.
 
Sangkanya telah berlaku kejadian yang tidak diingini terhadap saya dan ini sudah tentu ada kaitan dengan kasih sayang!
 
Isteri saya (dan tentunya isteri orang lain juga) tidak akan jadi begitu kalau bukan kerana kasih sayang.
 
Walaupun masih tidak jelas akan apa yang sebenarnya berlaku, rasa bimbang mendahului. Ya, hal yang seperti ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja!
 
Apa yang berlaku kepada diri saya, meskipun ia hanya sekadar salah faham, namun dalam hati tetap rasa bangga dan bersyukur malah masih boleh tertawa selepas menjelaskan kepada isteri bahawa saya tidak apa-apa, selamat dan sihat walafiat.
 
Isteri-isteri biasanya begitulah. Ketika suami di luar, kebanyakan mereka di rumah. Kalau pun yang bekerja, habis waktu kerja mereka biasanya terus balik rumah. Suami pula habis waktu kerja belum tentu ke mana. Ramai yang menyinggah di kedai mamak, kelab sosial  dan sebagainya untuk berjumpa kawan-kawan.
 
Sementelahan pula Piala Dunia kurang lebih 20 hari sahaja lagi. Ramailah suami yang tidak nampak pintu rumah berminggu-minggu selepas ini.
 
Seperti pandangan ramai orang, saya juga bersetuju bahawa tengok bola seorang diri di rumah memang tidak cukup 'stim' banding layan beramai-ramai di kedai mamak.
 
Lagi sebab musababnya kerana kita tidak mahu tidur isteri dan anak-anak terganggu.
 
Namun ketika di luar, mungkin kita jarang berfikir bahawa ada seseorang yang hatinya sentiasa memikirkan keselamatan kita. Justeru apabila berlaku insiden yang sekadar terdail nombor telefon, dan tiada pula suara kita yang kedengaran, mereka akan mudah terfikir hal yang bukan-bukan. Kadang-kalanya, apabila kebimbangan sudah menguasai, apa yang diperjelaskan pun mereka susah nak faham, seperti kes ini:
 

 
Isteri: Kenapa abang call?
 
Suami: Abang tertekan la sayang.
 
Isteri: Tertekan? Apa masalahnya bang?  Citer la kat sayang...
 
Suami: Abang tertekan jer...
 
Isteri: Kalau abang ada masalah cerita laa....
 
Suami: Masalah apanya? Tak ada masalah apa pun, abang cuma tertekan jer
 
Isteri: Ye la... Kalau abang tertekan.. abang kenalah cerita kat sayang.
 
Suami: Adoi la! Ini abang betul-betul tertekan. Dah kata tak ada masalah, cuma tertekan, sayang nak suruh abang cerita jugak kat sayang. Nak cerita apanya?
 
Isteri: Cerita masalah abang la, apa yang buat abang tertekan?
 
Suami: Adoi la! Adoi... Tertekannya! Nak cerita macam mana lagi ni??? Tertekan nombor telefon sayang la, nak cerita apa lagi?
 
Isteri: Oooo... tertekan nombor telefon sayang! Cakap la terdail.
 

 
Kepada suami-suami, kalau tidak mahu jadi kecoh seperti ini, pastikan anda tidak terdail nombor telefon isteri ketika di luar rumah.
 
Untuk mengelak hal sebegini, lebih selamat jika nombor telefon isteri anda hafal sahaja, jangan simpan dalam telefon.
 
Kalau tertekan nombor telefon orang lain, mungkin tidak akan sampai jadi begini kerana isteri memanglah prihatin akan hal ehwal suami dan pasti banyak soal-jawabnya pula nanti.
 
 
 

* Oleh MUHAMAD MAT YAKIM, Sinar Harian, 23 Mei 2014

Monday, 19 May 2014

Misteri Penemuan Jambatan Purba Nabi Adam!

Pada bulan Oktober 2010, sebuah teleskop angkasa berkuasa tinggi milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (NASA), telah merakam sebuah objek yang tidak dikenali di antara India dan Sri Lanka.


Apa yang menariknya, objek tersebut kelihatan mirip seperti sebuah jambatan yang menghubungkan kedua-dua negara itu.

Lantaran penemuan yang menakjubkan itu, pihak NASA telah menamakan objek tersebut sebagai 'Adam Bridge'.

Dianggarkan berukuran sepanjang 30 kilometer, objek tersebut mempunyai satu bentuk garisan melengkung yang hampir sama seperti sebuah jambatan.

Ekoran penemuan itu, ia mendapat perhatian daripada Jabatan Arkeologi Sri Lanka. Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan jabatan tersebut, mereka mengesahkan objek berkenaan adalah sebuah jambatan purba yang dikenali sebagai Jambatan Rama.


Adam Bridge in Mahabhrata and Ramayana

Berdasarkan kajian yang pernah dijalankan sebelum ini mendapati kewujudan jambatan tersebut dibuktikan melalui penelitian terhadap sebuah kitab kuno yang dikenali sebagai Mahabhrata dan Ramayana.

Mengikut rekod kajian mereka, usia jambatan tersebut mungkin mencecah satu hingga dua juta tahun. Uniknya, jambatan berkenaan didakwa telah dibina oleh manusia yang hidup ketika itu.

Namun, timbul persoalan sejauh manakah kebenaran dakwaan ini? Lebih mengelirukan, bagaimana manusia ketika itu mampu membina sebuah jambatan yang berukuran sepanjang 30 kilometer? Sesuatu yang sangat mustahil!

Jika dilihat pada situasi ini, kewujudan artifak tersebut sebenarnya tidak sesuai dengan zamannya. Penemuan jambatan purba ini telah mendahului zaman di mana perbandingan corak sosial dan teknologi pembinaannya menyebabkan artifak ini dilihat datang daripada satu zaman yang tidak sepadan dengan waktu ianya ditemui.

Bagaimanapun, penemuan artifak seperti ini banyak ditemui dan masih belum mampu dijelaskan sehingga ke hari ini.

Mengikut teori yang dikemukakan oleh seorang ahli Cryptozoologist Amerika Syarikat, Ivan T. Sanderson, penemuan seumpama ini digelar sebagai Out of Place Artifact (OOPART).


Adam Bridge [2]

Menurutnya lagi, fenomena OOPART merupakan kejadian yang tidak diketahui puncanya. Ia juga merupakan istilah asing yang paling jarang digunakan dalam sesuatu penemuan.

Merujuk kepada objek sejarah, arkeologi atau paleontologi yang ditemui tidak sesuai pada zaman dan tempatnya. Ia dilihat bertentangan dengan sejarah, masa dan teori kewujudan.

Selain 'Adam Bridge', terdapat dua lagi penemuan arkeologi yang terkenal yang dikategorikan sebagai OOPART.

Crystal Skull


Crystal Skull

Pertama, penemuan Tengkorak Kristal atau 'Crystal Skull' yang merupakan artifak peninggalan bangsa Maya di Yakatan, Mexico.

Seperti yang sudah diketahui ramai, bangsa Maya merupakan salah satu bangsa yang telah mengeluarkan satu ramalan mengenai kemusnahan Bumi yang bakal berlaku pada tahun 2012 yang lalu. Ramalan ini berlandaskan kepada kiraan kalendar matahari dalam tamadun ini.

Namun, selepas penemuan Tengkorak Kristal, ramai ahli arkeologi merasakan terlalu banyak rahsia dalam tamadun Maya yang mereka tidak ketahui.

Jika dilihat daripada aspek ketelitian dan reka bentuk tengkorak ini, ramai pengkaji mengandaikan adalah sesuatu yang mustahil bangsa ini mampu menghasilkan artifak yang begitu sempurna kerana tengkorak ini dihasilkan daripada batu permata Amesthyst.

Soalnya, sejauh manakah bangsa Maya ketika itu mampu membentuk batu keras ini menjadi artifak yang sama seperti tengkorak manusia sedangkan manusia di zaman teknologi sekarang pun amat sukar untuk mengukir batu permata ini?

Tulisan Hiroglif Mesir Kuno


Tulisan Hiroglif Mesir Kuno

Selain artifak purba Maya, satu lagi penemuan yang dianggap sebagai OOPART adalah tulisan Hiroglif yang menggambarkan peradaban kuno Mesir Sebelum Masihi.

Yang peliknya, di dalam tulisan ini terkandung pelbagai jenis kenderaan udara pada zaman ini seperti helikopter, kapal terbang dan lain-lain figura yang mungkin wujud pada masa hadapan.

Namun, kemunculan tulisan ini kekal menjadi tanda tanya kerana pesawat pertama yang dicipta di muka bumi hanya berlaku pada abad ke 16 yang dicipta oleh dua orang adik-beradik, Orville dan Wilbur Wright.

Bagaimanapun, istilah OOPART yang dikemukakan oleh Sanderson disangkal oleh sesetengah ahli sejarah yang skeptikal. Mereka berpendapat teknologi untuk menghasilkan artifak itu telah pun wujud sezaman dengan perkembangan sesuatu tamadun.

Jadi, dakwaan yang mengatakan teknologi pembuatan artifak yang mendahului zaman sebenarnya tidak wujud.

Golongan ini berpendapat, perkara ini adalah tipu helah semata-mata dan ia tidak ada kena mengena dengan teknologi yang mendahului zaman.


* Sumber diambil dari weblog Sentiasapanas.com

Riwayat Dajjal Berakhir Di Pintu Kota Lod


Bandar ini kecil. Keluasannya tidak sampai 13 kilometer. Kaum Yahudi menamakannya sebagai Lod. Manakala bangsa Arab pula menyebutnya sebagai Ludd atau Al-Ludd.

Lod City

Ribuan tahun dahulu, bandar ini juga dikenali dengan nama Lydda dan Diospolis. Terletak di daerah tengah Israel, bandar Lod berada lebih kurang 15 kilometer dari tenggara Tel Aviv.

Populasi penduduknya lebih kurang 70 ribu pada penghujung tahun 2011. Daripada jumlah itu, 80 peratus adalah Yahudi. Selebihnya adalah bangsa arab.

Perlu diketahui, awal dahulu kota ini dipenuhi bangsa Arab beragama Islam. Namun, kerana pencerobohan Israel pada 1948, ramai penduduk Islam telah diusir. Ditambah dengan projek peluasan tapak penempatan haram Yahudi di situ.

Kita singkap sedikit sejarah kota kecil ini. Mengikut kajian, kota ini mungkin sudah wujud sejak tahun 5,600 Sebelum Masihi berdasarkan usia tembikar dan beberapa barangan arkeologi yang ditemui. Sejarah menunjukkan beberapa kuasa pernah menakluki bandar kecil ini.

Pada abad ke 15 Sebelum Masihi, Lod berkembang sebagai pusat pemikir dan perdagangan Yahudi sehinggalah kota ini ditakluki penguasa Rom pada tahun 70 Masihi.

Dalam peperangan itu, Rom turut menjual penduduk Lod sebagai hamba abdi dan kota ini turut mengalami kehancuran akibat perang.

Sewaktu dalam kekuasaan Rom, kebanyakan penduduk kota ini menganut agama Kristian. Tambahan pula penguasa Rom telah melakukan usaha untuk mengkristiankan penduduk didalam daerah kekuasaannya.

Apabila kebangktan tentera Islam yang dipimpin Amr Ibn Al-As meluaskan kuasa, Lod berjaya ditawan pada tahun 636 Masihi. Namun pada tahun 1099, tentera salib berjaya merebut semula kota ini.

Ditangan tentera Saladdin, Lod berjaya direbut semula oleh tentera Islam namun tidak lama. Kemasukan bangsa Eropah berfahaman Katolik telah menguasai kota itu dan bergiat hebat menyebarkan fahaman mereka. Malah, semasa pendudukan itu, sangat sukar menemui Yahudi di dalam kota ini.

Seiring dengan peredaran zaman, Lod turut berkembang di bawah pemerintahan empayar Uthmaniah. Ada masjid dan gereja, stesen kereta api juga dibina.

Pada tahun 1918, wakil Inggeris di Palestin diberi mandat untuk mentadbir Lod berikutan keputusan League of Nation, organisasi antarabangsa yang ditubuhkan untuk mencapai keamanan.

Sehingga tahun 1948, kota Lod masih berada dalam kekuasaan Arab dibawah Palestin dengan populasi penduduk sekitar 20 ribu umat Islam dan hampir dua ribu penduduk Kristian.

Namun, setelah Israel mengisytiharkan merdeka dengan tanah yang telah dicerobohinya, pada Julai 1948, bangsa Yahudi telah menakluki kota Lod.

Penduduk Palestin yang diusir dari Kota Lod

Dalam satu serangan, lebih kurang 250 bangsa Arab termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh apabila Israel mengarahkan tenteranya untuk menembak sesiapa saja yang kelihatan di jalanan kota tersebut.

Sejak dikuasai Israel, umat Islam di kota itu mula diasingkan. Beratus-ratus orang Arab telah diusir oleh komando Israel dengan dipaksa berjalan kaki sepanjang 17 kilometer memasuki sempadan daerah Arab. Ramai yang meninggal kerana dehidrasi.

Manakala ramai bangsa Arab di kota itu tidak diizinkan tinggal dirumah mereka. Malah, Israel segera 'mengimport' kemasukan Yahudi daripada pelbagai daerah menyebabkan populasi Yahudi terus bertambah di kota itu.

Sebaliknya, populasi Islam kian mengecil. Taktik Israel berjaya dan kota itu akhirnya bertukar menjadi bandar Yahudi sehingga kini.

Apa yang menarik tentang kota Lod sehinggakan Yahudi begitu ingin menguasai kawasan itu?

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda: "Dajjal si buta sebelah menebarkan kesesatan dari arah timur, pada zaman terjadinya perselisihan antara manusia. Lalu dia berangkat ke Hijaz, diantara Iraq dan Syam. Kemudian dia mendatangi Madinah dan Mekah, tetapi para malaikat menghalanginya. Dia pun pergi ke Palestin tempat Isa bin Maryam as membunuhnya." (Hadis riwayat Al-Bazzar)

Dalam hadis lain, kota Lod turut disebut sebagai 'bab Lud' atau gerbang Lod. Dikatakan, di kota inilah Dajjal akan dikalahkan oleh Nabi Isa.

Dalam sesetengah kajian lain, gerbang Lod yang disebut tempat kematian Dajjal merujuk kepada kota yang berhampiran dengan Baitulmuqaddis di Palestin.

Di dalam kota Lod, ada sebuah dinding setinggi tiga meter yang dibina sebagai tanda sempadan yang memisahkan wilayah Yahudi dan Arab.

Kedua-dua kawasan itu mengalami pembangunan yang berbeza. Wilayah Yahudi pernah membangun, tetapi wilayah Arab jauh ketinggalan.

Seperti yang telah diriwayatkan, Nabi Isa akan turun di menara putih, bahagian timur kota Damsyik. Baginda akan sama-sama solat Subuh berimamkan Imam Mahdi dalam masjid di Baitulmuqaddis.

Setelah itu, Nabi Isa akan berdepan dengan Dajjal yang dibelakangnya sudah bersedia 70 ribu Yahudi lengkap bersenjata.

Melihat Isa didepan mata, Dajjal tiba-tiba cair seperti garam disiram air. Ia lari ketakutan dan Nabi Isa terus mengejarnya hingga tiba di pintu Lod dan membunuh Dajjal.

Seperti sabda Rasulullah yang diriwayatkan Ibnu Majah, Ibnu Huzaimah & Hakim yang bermaksud: "...Dia (Dajjal) pun dibunuhnya (oleh Isa)." 

Lalu Allah berkenan menghancurkan orang Yahudi, maka tidak satu pun dari seluruh makhluk Allah yang tidak memberitahu tentang keberadaan Yahudi kerana Allah telah membuat mereka mampu berbicara kecuali Gharqad (nama pohon Yahudi) yang tidak mampu berbicara kerana ia termasuk pohon orang Yahudi. Semua makhluk Allah tadi akan mampu mengatakan, "Wahai hamba Allah, disini ada orang Yahudi, bunuhlah."

Jadi, tahulah kini mengapa Yahudi menguasai kota Lod dan menggiatkan usaha menanam pohon Gharqad!
 

* Sumber

Etika Kerja dalam Islam

Islam tidak suka umatnya menganggur dan hanya menunggu rezeki disuapkan ke mulut. Sebaliknya Islam menuntut umatnya bekerja mencari rezeki halal bagi menyara diri sendiri dan keluarga. Disebabkan itu, terdapat lima etika kerja yang perlu dipatuhi bagi memastikan bahawa rezeki yang kita dapat itu ada keberkatannya:
 
IKHLAS DAN AMANAH
Bekerjalah dengan penuh kerelaan, suci hati untuk mendapatkan keredaan Allah. Bersyukurlah juga kerana dengan kerja yang kita lakukan, kita dapat menyumbang tenaga untuk pembangunan negara. Rasulullah bersabda yang bermaksud, "Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling banyak bermanfaat bagi sesama manusia." (Riwayat Al-Quda)
CEKAP DAN TEKUN
Antara ciri-ciri pekerja yang baik adalah cekap dan tekun. Ini selaras dengan sabda Rasulullah yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan dengan tekun." (Riwayat Al-Baihaqi)
BEKERJASAMA
Kita tidak mungkin dapat melakukan kerja sendirian, sebaliknya kita juga memerlukan orang lain untuk melancarkan kerja. Kerana itulah perlunya sikap saling bantu-membantu untuk menjamin kejayaan dalam kerja. Allah berfirman yang bermaksud, "Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan." (Surah Al-Maidah:2)
MENGABDIKAN DIRI KEPADA ALLAH
Dalam melaksanakan kerja, amat penting untuk kita tanamkan dalam hati, bahawa kerjaya itu adalah amanah Allah. Kerja itu juga adalah sebahagian ibadah kita kepada Allah. Allah berfirman yang bermaksud, "Wahai sekalian manusia, sembahlah Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahalu daripada kamu supaya kamu bertakwa." (Surah Al-Baqarah:21)
PEKERJAAN HALAL
Hal ini juga tdak kurang penting kerana setiap wang yang kita peroleh akan menjadi darah daging kita. Justeru, pastikan bahawa kerja yang halal dan tidak bertentangan dengan hukum syarak kerana daging (tubuh) yang tumbuh dari makanan yang haram, akan jadi makanan api neraka!
 

Thursday, 15 May 2014

Sedetik Cuma

Huluran salam ikhlas darimu ku sambut mesra,
Hatiku berbunga tatkala dilamar menjadi sahabatmu,
Sedetik kalam hati kecilku berbicara ria,
Apalah adaku yang bisa menarik dirimu.
 
Keakraban terjalin bersulam benang taqwa,
Benih-benih ukhwah kita taburkan bersama,
Ceritra suka dukamu ku dengar sepenuh jiwaku,
Ku cuba selami apa yang tersirat dihatimu.
 
Sinar suria ku sangka selamanya terang,
Semakin malap ditelan senja petang,
Begitulah ukhwah kita yang kian pudar,
Disamari sembilu tajam berprasangka liar.
 
Ya Allah,
Tabahkan hatiku menempuh ranjauMu,
Tiupkan sifat kebijaksanaanMu padaku,
Agar bisa ku rungkainya penuh hikmah,
Untuk mengubat hatiku yang gundah.
 
Ya Rahman,
Aku redha dengan segala ketentuan,
Ukhwah kita menyepi di balik gelapnya awan,
Tiada secangkir perkhabaran dariku dan darimu jua,
Ikatan tali persahabatan kita terlerai akhirnya.
 
Maaf andai aku yang membuka kunci perpecahan,
Ku telah sedaya memberikan terbaik buatmu,
Apalah dayaku, ku hanya insan biasa,
Seumpama rumput kecil di balik bunga nan indah,
Yang tiada seri dan tiada qudrah.
 
Deraian mutiara jernihku menitis kepiluan,
Meratapi ukhwah kita yang tiada kesudahan,
Begitu hinakah aku di figura matamu,
Ku dibiarkan terkapai lemas dalam keliru.
 
Ya Hayyu,
Dihamparan sejadah ku sujud munajat padaMu,
Padamkanlah semarak api kegelisahanku,
Dengan cucuran air ketenangan mahabbahMu.
 
Walau awan ukhwah kita berlagu pilu,
Walau diriku tak lagi dihargai olehmu,
Aku tetap mengalun doa kebahagiaan buatmu,
Hanya satu pinta tulus suciku darimu,
Kenanglah daku walau SEDETIK CUMA di qalbumu,
Bahawa engkau pernah mendampingiku,
Sebagai seorang sahabat seketika dahulu.
 
 
Sent: Sunday, October 07, 2012 4:01 PM
Subject: [Mahligai] Sedetik Cuma

Al-kisah Posmen

Ada seorang pakcik tua suka menerima surat. Setiap hari dia akan menunggu kedatangan posmen.
 
"Terima kasih banyak-banyak. Anta paling hebat di dunia. Tiap-tiap hari ada surat untuk pakcik," pakcik itu memuji posmen.
 
"Pakcik, ana ini penghantar surat sahaja," jawab posmen itu.
 
"Tidak. Tanpa anta manalah surat ini dapat datang," jawab pakcik itu kembali.
 
Pakcik ini menjadi terlalu memuja posmen.
 
Satu hari, di bulan Ramadhan… Pakcik menunggu surat, tapi posmen tidak berhenti di depan rumahnya. Untuk 4 hari berturut-turut, posmen tidak berhenti.
 
Hari ke 5, pakcik tak tahan, lalu menahan posmen.
 
"Mengapa anta tak hantar surat pada pakcik?" sergah pakcik itu.
 
"Sebab tak ada surat untuk pakcik," jawab posmen itu.
 
"Mana mungkin tak ada surat. Sebelum ini, tiap-tiap hari anta akan hantar surat pada pakcik," sergah pakcik itu lagi.
 
"Ana penghantar surat sahaja pakcik. Kalau tak ada orang hantar surat pada pakcik, ana tak ada apa yang boleh hantar pada pakcik," jawab posmen dengan penuh sabar.
 
"Kalau tak ada surat, buatlah surat untuk pakcik! Itu pun tak tahu," jawab pakcik itu.
 
Selepas seketika, surat pakcik mula datang kembali.
 

Satu hari, posmen itu memberitahu pakcik, "Besok ada orang baru ganti ana. Ana dah naik pangkat."
 
"Habislah surat pakcik," keluh pakcik itu.
 
Posmen tidak berkata apa-apa.
 
Besok posmen baru mula menghantar surat pada pakcik. Kebimbangan pakcik bahawa suratnya tidak sampai selepas posmen bertukar hilang bila posmen baru mengirimkan surat kepadanya.
 
"Bagusnya posmen baru ini. Surat masih datang seperti biasa. Tak sangka tukar posmen pun dapat lagi surat seperti biasa," kata pakcik seperti biasa.
 

Anak pakcik yang mengirim surat setiap hari ke pakcik. Di bulan Ramadhan, anak pakcik kemalangan masuk hospital, tak sempat kirim surat, tapi juga tak beritahu pakcik kerana bimbang dia risau…
 
Begitulah kisah di mana pakcik terlalu memuja kebesaran posmen yang menghantar surat kepadanya, sehingga terlupa bahawa surat datang daripada pengirim surat. Posmen ini hanyalah pengirim sahaja. Jika ada surat, posmen akan hantarkan walau bertukar orang.
 
Begitu juga rezeki kita di bumi Allah. Rezeki kita Allah yang tentukan. Manusia jadi pengirimnya – kadang kala kerajaan jadi pengirimnya. Ada yang terlupa perkara ini sehingga menganggap kerajaanlah yang menentukan rezeki mereka. Walhal kerajaan ini pengirim sahaja. Bertukar kerajaan tidak akan menyekat rezeki yang Allah dah tentukan. Allah akan cari pengirim lain sekiranya rezeki itu dah ditentukan untuk kita.
 
Dapat cerita ini?
 
Senyum.
 

* Oleh Tuan Ibrahim Tuan Man

Amalan Masuk Rumah

Soalan ;
Ustaz. InsyaAllah, saya akan berpindah ke rumah baru. Sehubungan dengan itu saya memohon penjelasan daripada ustaz mengenai perkara berikut:
  1. Apakah adab-adab dalam Islam ketika hendak berpindah ke rumah baru?
  2. Perlukah diadakan majlis do'a selamat dan/atau membaca Ya-sin? Apakah ia mengikut sunnah?
JazakAllah. Wassalam.
 
 
Jawapan Oleh USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL :
Amalan membaca al-Quran dan berdoa secara berjamaah (yakni beramai-ramai serentak) secara rutin atau pada masa tertentu sama ada malam jumaat, ketika masuk rumah baru dan sebagainya tidaklah pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w..
 
Namun pada asasnya amalan membaca al-Quran dan berdoa itu adalah sabit dari Nabi s.a.w., yakni terdapat hadis menceritakan galakan membaca al-Quran dan berdoa, namun kaifiyat membacanya beramai-ramai itu tidaklah ada dalam hadis Nabi s.a.w.. Kerana itu, amalan sebegini dinamakan dengan bid'ah idhafiyah yang diperselisihkan antara ulamak-ulamak di mana ada yang mengharuskannnya dan ada yang melarangnya.
 
Untuk penjelasan lanjut tentang bid'ah idhafiyah ini, sila baca huraian saya berkenaannya dalam satu lagi blog saya; (http://koleksi-alqalam.blogspot.com/2008/08/menangani- masalah-khilafiyah-dan-bidah_ 5344.html).
 
Mengenai adab-adab ketika hendak masuk rumah baru, berdasarkan pemerhatian saya -wallahu a'lam, Islam tidaklah menekankan amalan yang hanya khusus ketika masuk rumah, tetapi amalan-amalan yang berterusan yang perlu dihidupkan di dalam rumah, antaranya;
 
1. Memasuki rumah dengan membaca Bismillah dan doa yang makthur dari Nabi s.a.w. Begitu juga ketika keluar dari rumah.
 
2. Menjaga ahli rumah agar sentiasa berada dalam ketaatan dan menjauhi maksiat dan munkar. Firman Allah (bermaksud);
"Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya terdiri dari manusia dan batu…" (at-Tahrim: 6).
Berkata Imam Qatadah (tatkala menghurai ayat ini); 'yakni kamu menyuruh mereka supaya mentaati Allah dan menegah mereka dari memaksiatiNya serta kamu melaksanakan tanggungjawab kamu terhadap mereka dengan agama Allah, kamu memerintahkan mereka dengannya dan membantu mereka untuk melaksanakannya. Apabila kamu melihat mereka melakukan maksiat, tegahlah mereka".
 
Menurut Imam Muqatil; "Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap lelaki muslim untuk mengajar ahli-ahli keluarganya (isteri dan anak-anaknya) apa yang difardhukan Allah ke atas mereka dan apa yang ditegah Allah dari mereka". (Rujuk: Tafsir Ibu Kathir)
 
3. Setiap ahli rumah menunaikan kewajipan masing-masing mengikut agama; kewajipan sebagai suami dan bapa, kewajipan sebagai isteri dan ibu dan kewajipan sebagai anak. Sabda Nabi s.a.w.;
"Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu akan ditanya tentang orang-orang di bawah jagaannya. Pemimpin Negara adalah penjaga bagi rakyatnya dan dia akan ditanya berkenaan orang di bawah jagaannya (yakni rakyatnya). Seorang lelaki adalah penjaga bagi ahli keluarganya dan dia akan ditanya tentang ahli keluarga di bawah jagaannya. Seorang wanita adalah penjaga bagi rumah suaminya dan dia akan ditanya tentang apa yang berada di bawah jagaannya…". (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu 'Umar r.a.).
4. Menghidupkan bi-ah Islam di dalam rumah, antaranya dengan;
a) Membaca al-Quran di dalam rumah. Sabda Nabi s.a.w.;
"Jangan kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kubur. Sesungguhnya syaitan melarikan diri dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah" (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
b) Mengerjakan solat-solat sunat di dalam rumah. Sabda Nabi s.a.w.;
"Kerjakanlah solat –wahai manusia- di rumah-rumah kamu. Sesungguhnya solat yang paling afdhal ialah seseorang mengerjakan solat di rumahnya kecuali solat yang fardhu" (HR Bukhari dan Muslim dari Zaid bin Thabit r.a.).
Dalam hadis yang lain baginda bersabda;
"Kerjakanlah sebahagian solat kamu dirumah kamu. Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu ibarat kubur". (HR Imam Muslim dari Jabir r.a.)
c) Mengajak ahli keluarga bersama-sama beribadah. Sabda Nabi s.a.w.;
"Jika seorang lelaki mengejutkan ahli keluarganya pada waktu malam, lalu mereka mengerjakan solat dua rakaat bersama-sama, nescaya mereka berdua akan ditulis/disenaraikan di kalangan lelaki-lelaki yang banyak berzikir dan perempuan-perempuan yang banyak berzikir" (HR Imam Abu Daud dari Abi Said r.a.).
Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda;
 "Allah mengasihi seorang lelaki yang bangun menunaikan solat malam, kemudian ia mengejutkan isterinya…Begitu juga, Allah mengasihi seorang perempuan yang bangun menunaikan solat malam, kemudian ia mengejutkan suaminya…" (HR Abu Daud dari Abu Hurairah r.a.).
d) Hidupkan budaya memberi salam. Anas r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya;
"Wahai anakku! Jika kamu masuk menemui ahli keluargamu (di rumah kamu) maka berilah salam kepada mereka, nescaya akan dilimpahi keberkatan ke atas kamu serta ahli rumah kamu" (HR Imam at-Tirmizi dari Anas r.a.).
Rasulullah s.a.w. pernah bertanya para sahabat baginda;
"Mahukah aku tunjukkan kepada kamu suatu amalan yang jika kamu lakukan nescaya kamu akan saling berkasih-sayang?" . Jawab mereka; "Ya". Lalu baginda bersabda; "Hidupkan budaya memberi salam antara sesama kamu" (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.).
e) Mempraktikkan adab-adab Islam di dalam rumah. Antara adab-adab Islam yang perlu dipraktikkan oleh ibu-bapa serta ahli keluarga di rumah ialah adab ketika makan, adab ketika masuk dan keluar tandas, adab berpakaian, adab anak-anak ketika hendak masuk ke bilik ibu-bapa (terutamanya apabila anak-anak telah mumayyiz), adab keluar dan masuk rumah, adab tidur dan bangun dari tidur dan sebagainya.
 
Adab-adab ini amat penting kerana ia melibatkan amalan dan rutin harian yang boleh memberi contoh berkesan kepada anak-anak dalam meningkatkan roh keislaman mereka.
 
Umar bin Abi Salamah r.a. menceritakan: "Semasa saya masih kanak-kanak di bawah jagaan Rasulullah s.a.w., suatu ketika saya makan dalam keadaan tangan saya bergerak sana sini mengambil makanan yang ada di dalam talam (sedang orang makan bersama). Lalu Rasulullah s.a.w. menasihatkan saya; "Wahai anakku! Mulakan makan dengan menyebut nama Allah (membaca Bismillah), kemudian makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah dari makanan yang berada di depanmu". (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
 
4) Jika ingin memohon perlindungan untuk rumah, lakukanlah sebagaimana yang diajar oleh Nabi s.a.w, antaranya ialah dengan membaca al-Quran dan doa-doa perlindungan yang makthur dari baginda.
 
Sabda Nabi s.a.w.;
"Janganlah kamu menjadikan rumah-rumah kamu ibarat kubur. Sesungguhnya rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah, rumah itu tidak akan dimasuki Syaitan" (HR Imam Muslim dan at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.).
Sabda Nabi s.a.w.;
"Sesiapa singgah/berhenti di satu tempat, lalu ia membaca "أعُوذُ بِكَلِماتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرّ مَا خَلَقَ" (Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari kejahatan segala makhluk ciptaannya), nescaya tidaka ada sesuatupun dapat memudaratkannya hingga ia berpindah" (HR Imam Muslim dari Khaulah binti Hakim r.a.)
Demikianlah sebahagian dari amalan-amalan di dalam rumah yang digalakkan oleh Islam yang sabit dari hadis-hadis yang soheh dari Nabi s.a.w.. Dengan melakukan amalan-amalan tersebut, Insya Allah rumah kita akan sentiasa dilindungi dari Iblis dan Syaitan dan ahli keluarga kita akan senantiasa diberkati Allah.
 
Wallahu a'lam.